Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) bercakap kepada wartawan selepas selesai pengebumian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi di Masjid Negara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 15 APRIL 2025.

KUALA LUMPUR – Sarawak akan terus menghargai dan mengenang jasa Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi atas sumbangan besar beliau dalam pembangunan negeri itu, khususnya inisiatif Koridor Tenaga Boleh Diperbaharui Sarawak (SCORE).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, Allahyarham yang juga Perdana Menteri Kelima telah memainkan peranan penting dalam membawa pembangunan seimbang kepada negeri-negeri termasuk Sarawak, serta memperkenalkan dasar-dasar nasional yang sederhana dan menyatupadukan rakyat.

“Dalam konteks negeri Sarawak, antara sumbangan besar Allahyarham adalah SCORE (Sarawak Corridor of Renewable Energy) yang hari ini terbukti memberi impak besar kepada ekonomi dan pembangunan negeri,” katanya.

Beliau menyatakan demikian selepas pengebumian Allahyarham Tun Abdullah di Masjid Negara, hari ini.

Fadillah menyifatkan Tun Abdullah sebagai seorang negarawan yang memperkenalkan konsep Islam Hadhari iaitu pendekatan sederhana yang menekankan nilai keharmonian dan integrasi sosial dalam masyarakat majmuk Malaysia.

“Konsep Islam Hadhari yang dibawa beliau telah membudayakan nilai-nilai yang baik dalam pentadbiran negara dan kehidupan masyarakat.

“Ia mencerminkan keperibadian beliau sebagai pemimpin sederhana yang berpandangan jauh,” tambahnya.

Mengulas lanjut, Fadillah menzahirkan ucapan takziah mewakili seluruh warga Sarawak kepada balu Allahyarham, Tun Jeanne Abdullah, serta seluruh ahli keluarga.

“Bagi pihak saya sendiri, Premier Sarawak dan seluruh rakyat Sarawak, kami mengucapkan takziah.

“Semoga roh Allahyarham ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan dikurniakan syurga oleh Allah SWT,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang bertungkus-lumus memastikan kelancaran urusan penghormatan terakhir dan pengebumian Allahyarham yang disemadikan di Makam Pahlawan.

“Alhamdulillah, urusan hari ini berjalan lancar.

“Terima kasih kepada semua pasukan keselamatan, pihak Masjid Negara, urusetia dan petugas protokol,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here