Datuk Shahul Hameed Dawood tamat kontrak sebagai Ketua Eksekutif HRD Corp semalam, 14 April.

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Eksekutif HRD Corp, Datuk Shahul Hameed Dawood bersyukur dan bangga apabila menamatkan perjalanan lima tahun menerajui organisasi strategik pembangunan modal insan negara itu.

Dalam kenyataan perpisahannya yang berakhir semalam, Shahul berkata, dalam tempoh lima tahun memimpin HRD Corp bukan sekadar satu fasa kerjaya tetapi satu transformasi besar bagi organisasi dan dirinya secara peribadi.

“Ketika saya mula memikul tanggungjawab ini, misi saya jelas menjadikan HRD Corp sebagai pemacu strategik pembangunan modal insan negara.

“Hari ini saya tinggalkan sebuah organisasi yang bukan sahaja berjaya mencapai misi tersebut malah melangkaui jangkaan saya,” katanya.

Beliau turut berkongsi pencapaian utama yang berjaya direalisasikan sepanjang tempoh perkhidmatannya antaranya aset di bawah pengurusan melebihi RM4 bilion pada tahun 2024 iaitu peningkatan 101 peratus sejak tahun 2020.

Selain itu, kutipan levi mencecah RM2.32 bilion manakala kelulusan geran berjumlah RM2.28 bilion dengan kadar penggunaan yang luar biasa tinggi iaitu 98 peratus, penganjuran ASEAN Year of Skills oleh HRD Corp, transformasi digital menyeluruh yang mempercepatkan proses, tambah baik penyampaian perkhidmatan dan meningkatkan pengalaman pengguna secara drastik.

“Segala pencapaian ini bukan hanya kejayaan operasi ia mencerminkan perubahan asas dalam cara HRD Corp memberi impak melalui pendekatan yang berfokuskan teknologi, dasar dan keperluan manusia,” katanya lagi.

Shahul rasa amat bertuah kerana diberi kepercayaan untuk menerajui transformasi ini serta berpeluang membina sebuah institusi masa depan yang teguh dan berdaya tahan.

“Saya amat terharu dan berterima kasih kepada semua rakan kerjasama, dalam dan luar negara, yang mempercayai visi kami dan terus menyokong perjalanan ini. Segala kepercayaan dan sokongan itu akan saya kenang selamanya,” ujarnya.

Shahul turut menyatakan walaupun beliau kini melangkah ke fasa baharu dalam kerjaya, beliau tetap membawa semangat dan iltizam yang sama untuk terus menyumbang dalam memajukan pembangunan insan negara.

“Misi ini belum berakhir dan saya yakin organisasi ini akan terus berkembang di bawah kepimpinan baharu yang berkaliber. Terima kasih kerana memberi saya peluang untuk berkhidmat, memimpin dan membina bersama,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here