IPOH – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bersama Permaisuri Perak Tuanku Zara Salim, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta rakyat di negeri ini merakamkan ucapan takziah di atas pemergian Perdana Menteri Malaysia Kelima, Tun Abdullah Ahmad Badawi.
“Beta bersama Raja Permaisuri, Dewan ini dan seluruh rakyat Beta di negeri Perak menzahirkan rasa dukacita atas kembalinya ke Rahmatullah Perdana Menteri Malaysia kelima Tun Abdullah Ahmad Badawi, dan menzahirkan ucapan takziah kepada Tun Jean Abdullah dan keluarga allahyarham.
“Semoga roh Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dilimpahi rahmat İhsan Ilahi ditempatkan dalam kalangan roh para Solihin,“ titahnya hari ini.
Sultan Nazrin bertitah demikian ketika merasmikan pembukaan rasmi Tahun Ketiga, Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.
Sultan Nazrin turut bertitah supaya bendera negeri Perak dikibarkan separa tiang pada hari ini bagi menandakan rasa sedih dan dukacita rakyat Perak.
Tun Abdullah meninggal dunia pada usia 85 tahun di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, semalam.
Perkara itu disahkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin, dalam hantaran menerusi laman sosial yang memaklumkan bahawa Allahyarham yang juga dikenali dengan panggilan ‘Pak Lah’, menghembuskan nafas terakhir pada jam 7.10 malam.
Terdahulu, baginda bersama Raja Permaisuri dan ADUN merakamkan ucapan takziah kepada Rozlita Abdullah dan ahli-ahli keluarga Allahyarham Ishsam Shahruddin yang meninggal dunia pada 22 Februari lalu.
“Pemergian Ishsam ketika baharu berusia 58 tahun merupakan satu kehilangan besar kepada negeri Perak, Dewan ini, dunia bola sepak, rakyat di Air Kuning, lebih-lebih lagi kepada balu dan dua orang didik Allahyarham, Puan Rozlita Abdullah serta Isnabil dan Iszul Imadi.
“Semoga roh Allahyarham dilimpahi ihsan rahmat Ilahi, ditempatkan dalam kalangan roh para solihin.
“Beta bersama Raja Permaisuri dan ahli-ahli Dewan ini merakamkan ucapan takziah kepada Puan Rozlita Abdullah dan ahli-ahli keluarga Allahyarham; semoga mereka diberikan ketabahan, redha menerima penentuan Ilahi.
“Sebagai penghormatan dan tanda ingatan atas segala jasa bakti Ishsam bin Shahruddin, marilah kita bertafakur, dan dalam kalangan umat Islam membacakan surah al-Fatihah, semoga apa jua ganjaran daripada amal ini, dilimpahi rahmatnya kepada roh Allahyarham; al-Fatihah,“ titah baginda.
Allahyarham Ishsam dipilih menjadi wakil rakyat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning selepas memenangi kerusi tersebut pada Pilihan Raya Umum (PRU) Ke-15.
Sebelum menjadi ADUN, Allahyarham Ishsam pernah mewakili pasukan Harimau Malaysia, Perak dan Negeri Sembilan. – MalaysiaGazette