KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menghantar surat bantahan kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) selepas tewas pada pemilihan merebut jawatan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Shah Alam, Sabtu lalu.
Menurut Rodziah yang juga penyandang, bantahan itu dibuat berikutan terdapat beberapa perkara yang disifatkan `pelik’ berlaku pada pemilihan tersebut, serta keputusan yang diperolehinya.
Dakwa pemimpin senior PKR itu, antara penemuan pelik yang menimbulkan kemusykilan tersebut apabila undi kepada Ketua Cabang tidak dicatatkan.
Jelasnya, perkara itu tidak mungkin berlaku memandangkan sistem tidak membenarkan pengundi ke skrin Timbalan Ketua Cabang, selagi tidak mengundi untuk Ketua Cabang.
“Ada juga ketika proses pengundian berlaku, pengundi-pengundi terpaksa keluar dari sistem dan kena download sekali lagi Apps Adil utk kembali mengundi.
“Ianya tak sepatutnya berlaku dan ia tiada kaitan dgn isu capaian Internet. Maka apa jadi dgn undi-undi tersebut?” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Terdahulu, kata Rodziah, dia juga berasa pelik memandangkan hanya beliau daripada pasukan yang diketuainya tewas, malah mendapat undi terendah dalam kalangan calon-calon daripada pasukannya.
Sedangkan, ujarnya, selaku bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Shah Alam, beliau sememangnya dikenali dan pada pemilihan penggal lepas, undi yang diperolehinya melebihi undi oleh pasukannya.
“Dengan KEPUTUSAN yang PELIK ini, dan dengan penemuan2 yg di perolehi, saya buat bantahan kerana merasakan ada sesuatu yg tidak kena,” katanya.
Tambahnya, beliau bangkit bersuara dan selaku Ahli Majlis Pimpinan Pusat turut menggesa supaya perkara tersebut diberi penjelasan segera.
Dalam masa sama, beliau mencadangkan supaya baki pemilihan untuk beberapa negeri pada hujung minggu ini ditangguhkan sehingga isu-isu pelik yang dibangkitkan dapat dikesan.
Pada pemilihan bagi Ketua Cabang Shah Alam, Sabtu lalu, Rodziah yang juga penyandang tewas mengejut kepada pemimpin muda, Mohd Najwan Halimi yang juga ADUN Kota Anggerik.
Dalam persaingan tiga penjuru itu, Rodziah hanya mendapat undi 899 undi berbanding Mohd Najwan (1,213 undi) dan seorang lagi calon, Noryzal Zainal Abidin, (513 undi).
Sebelum ini, Rodziah turut mengumumkan akan bertanding jawatan Ketua Wanita PKR bagi mencabar penyandangnya, Fadhlina Sidek dalam pemilihan yang akan berlangsung bulan depan. – Malaysia Gazette