KUANTAN – Tiga lelaki termasuk seorang remaja berusia 19 tahun telah direman tiga hari bagi membantu siasatan berkaitan kes memukul anjing sehingga mati di Mentakab, Temerloh kelmarin.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan, perintah reman dibenarkan Majistret Tan Chew King di Mahkamah Majistret Temerloh hari ini.
Beliau berkata, dua daripada suspek ditahan pada pukul 11 malam semalam dan seorang lagi ditahan pada pukul 1.05 pagi tadi di tepi Jalan Pintasan Temerloh.
“Hasil maklumat diterima, kesemua lelaki berusia 19 tahun hingga 39 tahun berjaya ditahan untuk melengkapkan siasatan. Pengakuan awal diterima adalah mereka mengaku terlibat dalam kes terbabit,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mazlan berkata, turut dirampas adalah sebatang kayu bulat berukuran 0.8 meter panjang.
Semalam tular di media sosial tiga rakaman klip video memaparkan perbuatan beberapa orang lelaki memukul seekor binatang dipercayai anjing yang telah mati. – MalaysiaGazette