KUALA LUMPUR – Kepimpinan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi patut dicontohi oleh kerajaan terutama dalam melaksanakan reformasi secara ikhlas dan berkesan demi masa depan negara.
Setiausaha Agung Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan), Wong Chia Zhen berkata, antara peranan menyerlah Perdana Menteri kelima itu adalah Allahyarham membuka ruang yang bebas kepada media menjalankan peranannya.
“Paling signifikan, Tun Abdullah berani membuka ruang kepada media untuk menjadi lebih bebas dan kritikal, satu langkah yang memperkukuh demokrasi dan menandakan keyakinannya terhadap kuasa rakyat.
“Pendekatan beliau yang terbuka dan sederhana melalui gagasan Islam Hadhari pula membawa mesej pembangunan seimbang yang merentasi kaum dan agama,” katanya menerusi kenyataan.
Tambahnya, Tun Abdullah yang turut dikenali dengan gelaran Pak Lah juga memainkan peranan penting dalam meletakkan asas reformasi institusi khususnya pembangunan modal insan.
Malah menurut beliau, Pak Lah juga mengutamakan pemerkasaan pendidikan dalam negara.
Kata Chia Zhen, bekas Perdana Menteri itu berjasa besar selepas menubuhkan Institut Integriti Malaysia demi memperkukuhkn nilai-nilai tata kelola yang baik dalam sektor awam dan swasta.
“Beliau memberi penekanan terhadap pendidikan, etika dan integriti dalam pentadbiran negara. Pelan Induk Modal Insan yang dilancarkan pada zamannya menjadi antara dasar terpenting dalam mempersiapkan generasi masa depan Malaysia.
“Di bawah kepimpinannya, pendidikan tinggi diperkasa, universiti diberi lebih autonomi, dan penyelidikan mula menjadi tonggak kemajuan negara,” katanya .
Sehubungan itu, Tambah beliau, negara bukan sahaja kehilangan negarawan disegani malah pemimpin yang berprinsip yang banyak meninggalkan legasi pembaharuan untuk negara.-MalaysiaGazette