KUALA LUMPUR – Pemergian Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi merupakan kehilangan besar buat dunia pendidikan negara.
Beliau merupakan tonggak utama dalam memperkasa sistem pendidikan dan pembangunan modal insan negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, gagasan Islam Hadhari yang dibawakan Tun Abdullah atau dikenali dengan panggilan Pak Lah memenuhi citra masyarakat kontemporari, manakala inisiatif seperti J-QAF telah menyumbang kepada pemerkasaan pendidikan Islam secara menyeluruh di sekolah-sekolah.
Katanya, perjuangan Allahyarham dalam bidang pendidikan tidak bermula ketika beliau menjadi Perdana Menteri, sebaliknya telah lama digerakkan sejak zaman mahasiswa melalui aktivisme dalam Persatuan Pelajar-Pelajar Melayu Pulau Pinang dan Seberang Prai (PPMPPSP) serta Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS).
“Ketika menjawat jawatan Menteri Pelajaran dari 1984 hingga 1986, Allahyarham memainkan peranan penting dalam pelaksanaan awal Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR), yang menjadi asas kepada pembaharuan pendidikan asas negara hari ini.
“Allahyarham turut memperkukuh pembangunan modal insan menerusi penubuhan Jawatankuasa Bimbingan Pelajar Sekolah pada tahun 1985, serta memperkasa profesionalisme keguruan melalui Institut Pengurusan Pendidikan Negara (IPPN), yang kini dikenali sebagai Institut Aminuddin Baki (IAB),” katanya dalam kenyataan.
Fadhlina berkata, peranan Allahyarham tidak terhenti di situ sahaja sebaliknya ketika memegang jawatan sebagai Perdana Menteri, beliau telah melancarkan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) 2006–2010 yang menekankan pembinaan negara bangsa melalui sistem pendidikan berkualiti tinggi.
“Segala inisiatif ini mencerminkan betapa pendidikan adalah nadi perjuangan Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi. Beliau bukan sahaja pemimpin negara, tetapi juga pejuang ilmu dan pembina generasi masa depan,” ujarnya.
Fadhlina turut mendoakan agar roh Allahyarham dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman dan beramal soleh.
“Bersemadilah dalam tenang wahai negarawan berjiwa besar. Jasamu terhadap pendidikan akan terus dikenang dan dijadikan pedoman sepanjang zaman,” katanya. -MalaysiaGazette