Kompleks Pasar Awam Batu Ferringgi di Pulau Pinang yang terbiar kosong.

GEORGE TOWN – Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menggesa kerajaan memanfaatkan setiap bangunan terbiar agar wang yang telah dibelanjakan untuk pembinaannya tidak dibazirkan, kata presidennya, Mohideen Abdul Kader.

Beliau mengulas laporan akhbar tempatan pada Januari lalu melaporkan bangunan Mahkamah Persekutuan yang berstatus warisan di tengah bandar raya Kuala Lumpur dibiarkan terbengkalai sehingga mencacatkan pemandangan indah di ibu kota.

Menurut beliau, kompleks bangunan pejabat kerajaan negeri di Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, Perak yang sebelum ini beroperasi untuk pelbagai urusan masyarakat turut dilaporkan terbiar kosong.

“Di Pulau Pinang pula, Kompleks Pasar Awam Batu Ferringgi siap dibina Ogos 2020 yang turut menyediakan medan selera, dewan serbaguna, gelanggang badminton dan kemudahan-kemudahan lain kini juga terbiar,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Bangunan kuarters yang terbiar lama menunggu masa untuk dirobohkan bagi pembinaan bangunan baharu. Gambar ihsan – CAP.

Tambah Mohideen, bangunan-bangunan tersebut tidak sepatutnya dibiarkan begitu sahaja dan perlu dimanfaatkan semula kerana ia akan memberikan gambaran negatif mengenai pengurusan harta negara.

Tegas beliau, kerajaan harus membuat sesuatu untuk membaik pulih bangunan itu kerana ia boleh digunakan untuk manfaat lain dan jika dibiarkan kosong, mungkin lebih banyak kerosakan berlaku pada bangunan ini.

“Apabila berlaku kerosakan maka lebih banyak kos yang diperlukan untuk membaikinya.

“Sehubungan itu, kita mencadangkan agar kerajaan membuat penilaian terlebih dahulu untuk melihat sama ada ia sesuai digunakan semula atau perlu dirobohkan dan dibangunkan bangunan baharu, kerana jika ia boleh terus digunakan kerajaan akan dapat menjimatkan perbelanjaannya.

“Dalam isu ini aspek pemantauan mestilah ditekankan bagi memastikan semua bangunan milik kerajaan Persekutuan dan Negeri digunakan sepenuhnya bukan dibiarkan terbiar,” katanya.

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here