Proton Waja yang dinaiki suspek untuk cuba menyeludup Petrol. Ihsan Foto : KPDN

KUALA LUMPUR – Taktik licik dua lelaki warga Thailand yang menggunakan kereta tempatan dengan tangki minyak yang diubah suai bagi tujuan menyeludup petrol terbongkar selepas dicekup dalam operasi bersepadu di Bukit Bunga, Jeli, semalam.

Kedua-dua suspek yang masing-masing berusia 30 dan 50 tahun ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari menerusi Ops Tiris yang dijalankan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan bersama Pasukan Polis Marin Wilayah 3.

Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail berkata, suspek ditahan ketika cuba melepasi Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Bunga untuk memasuki Thailand.

Mereka juga telah menggunakan kenderaan jenis Proton Waja yang telah diubah suai tangki minyaknya.

“Hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua kenderaan tersebut membawa kepada penemuan sebanyak 245 liter petrol, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan melebihi RM10,000.

“Pemantauan awal mendapati terdapat aktiviti mencurigakan di beberapa stesen minyak sekitar kawasan berkenaan, sebelum serbuan dilakukan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Tambahnya, siasatan turut mendapati kedua-dua kenderaan terbabit dibeli oleh suspek tanpa menukar nama pemilik asal sebagai helah untuk mengelak dikesan pihak berkuasa dan memudahkan urusan penyelewengan.

Azman berkata, suspek mengaku telah menjalankan kegiatan penyeludupan itu sejak hampir lima bulan lalu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961 yang dibaca bersama Peraturan 3(1), Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki dan berurusan dengan barang kawalan tanpa kebenaran sah.

“KPDN akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat dalam aktiviti penyeludupan barangan kawalan,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here