Ketua Pembangkang DUN Perak yang juga ADUN Gunung Semanggol, Razman Zakaria meninggalkan persidangan selepas usul menggantungkan beliau daripada menghadiri persidangan selama enam bulan diluluskan di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh, pada Rabu. Foto: Aniq Nabilafiq Anuar

IPOH – Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak menggantung Ketua Pembangkang yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gunung Semanggol, Razman Zakaria daripada menghadiri persidangan selama enam bulan berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Keputusan itu dibuat Speaker DUN, Datuk Mohammad Zahir Abdul Khalid selepas usul syor penyata Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri terhadap Razman dibawa Ong Boon Piow (PH-Bercham) dipersetujui.

Ketika membentangkan usul Boon Piow berkata, jawatankuasa yang bersidang pada 14 April lalu telah menerima permohonan maaf daripada Razman dan memberikan amaran untuk beliau tidak mengulangi semula tindakannya.

“Jawatankuasa mengesyorkan Ahli Dewan Negeri Gunung Semanggol digantung daripada menghadiri Mesyuarat Dewan Negeri selama enam bulan. Penggantungan ini akan berkuatkuasa dari tarikh ketetapan Dewan Negeri.

“Saya mencadangkan syor penyata jawatankuasa ini diluluskan dan berkuatkuasa selepas mendapat kelulusan Dewan Negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Mesyuarat Pertama, Tahun Ketiga Dewan Negeri Ke-15 di Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini hari ini.

Usul yang disokong Datuk Shahrul Zaman Yahya (BN-Rungkup) itu kemudian diundi secara pungutan suara sebelum dipersetujui DUN.

Mohammad Zahir kemudian meminta agar Razman meninggalkan persidangan kerana beliau bukan lagi sebahagian daripada anggota dewan.

Sebelum meninggalkan dewan Razman sempat mengucapkan terima kasih dan memohon maaf terhadap atas sebarang kesilapan yang.

“Saya mengucapkan Selamat Hari Raya, maaf zahir batin dan apa-apa juga kesilapan, mohon dimaafkan.

“Saya nak beri semangat kepada sahabat-sahabat saya di sini supaya kita terus memperjuangkan sebagai pembuat undang-undang. Maka kita tidak boleh membela pada mana-mana pelanggaran undang-undang dalam negara kita ini,” katanya lagi.

Pada Disember lalu, DUN meluluskan usul bahawa ADUN Gunung Semanggol dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri selepas beliau didakwa membuat kenyataan tidak benar.

Mohammad Zahir membuat keputusan pada persidangan ketika itu selepas usul dibawa Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka) dan disokong Wong May Ing (PH-Pantai Remis) itu dipersetujui.

Jason berkata,  Razman didakwa mengeluarkan kenyataan dengan membuat sangkaan buruk serta kenyataan berbaur perkauman pada persidangan DUN.

Kenyataan dibuat Razman dipercayai berkaitan dengan insiden kibaran bendera negara China yang tular berlaku di Dataran Menara Condong Teluk Intan pada Oktober lalu.

Sementara dalam persidangan sama Boon Piow berkata, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Negeri menerima permohonan maaf daripada Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PH-Hulu Kinta) dengan menarik balik penggunaan perkataan ‘penjilat’ tanpa mengulangi tindakan tersebut di DUN.

Usul yang juga disokong Shahrul Zaman itu kemudian dipersetujui secara pungutan suara ADUN. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here