PUTRAJAYA – Setelah gagal dalam percubaannya merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya, Adam Adli opitimis akan dipilih untuk berada dalam Majlis Pimpinan Pusat (MPP) pada pemilihan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Mei ini.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu berkata, walaupun peringkat MPP adalah satu arena yang berbeza daripada peringkat akar umbi, beliau menaruh harapan bersandar kepada ruang dan peluang untuk berada di peringkat pusat.
“Tentu sekali kita percaya bahawa dengan penglibatan (saya dalam parti) lebih banyak ruang terutama sekali dengan pengalaman saya dalam Angkatan Muda Keadilan sebelum ini.
“(Saya) ada keyakinan (untuk jawatan MPP) yang lebih baik, in sya-Allah,” katanya pada sidang media sempena peluncuran Dana Antarabangsa Belia Kementerian Belia dan Sukan (KBS) di lobi Menara KBS hari ini.
Ahad lalu, Adam gagal dalam percubaannya merebut jawatan Timbalan Ketua Cabang Hang Tuah Jaya apabila tewas kepada pencabarnya, Zamzizul Nordin.
Beliau hanya mampu meraih 791 undi berbanding Zamzizul yang mendapat 1,905 undi.
Bulan lalu, Adam yang juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan mengesahkan akan bertanding mengesahkan untuk bertanding jawatan MPP pada pemilihan PKR Mei ini.
Hassrat itu kata Adam adalah sebagai antara cara untuk beliau terus menyumbang jasa dalam parti. – MalaysiaGazette