UTRAJAYA – Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melancarkan Dana Antarabangsa Belia khusus bagi memperkasa pembangunan belia melalui penyertaan dalam mesyuarat, forum, persidangan dan simposium peringkat antarabangsa.
Timbalan menterinya, Adam Adli berkata, ia merupakan satu lagi inisiatif penting untuk memperkukuh penglibatan aktif, membangunkan kemahiran kepimpinan, advokasi dan memberikan pendedahan peringkat antarabangsa serta memperluas rangkaian belia selari dengan nilai teras daya cipta dan keyakinan dalam Malaysia Madani.
“Dana Antarabangsa Belia KBS ini terbuka kepada semua belia Malaysia berusia 18 hingga 30 tahun yang merupakan ahli mana-mana persatuan atau kelab berdaftar dengan Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY), Pejabat Pesuruhjaya Sukan (PJS), atau Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS).
“Dana ini akan menampung secara komprehensif termasuk yuran penyertaan, tiket penerbangan pergi balik, elaun penginapan dan makan serta insurans dan visa mengikut kadar ditetapkan kementerian,” katanya pada sidang media di lobi Menara KBS hari ini.
Sejumlah RM20,000 akan diberikan kepada setiap permohonan yang layak untuk dimanfaatkan oleh golongan belia di negara ini.
“Sebagai permulaan, untuk kali pertama ini adalah sebanyak RM500,000. Jadi kita mahu lihat bagaimana kita boleh pastikan dana yang diperuntukkan ini dimanfaatkan oleh anak-anak muda dalam negara kita yang ingin keluar negara bagi mewakili negara dalam simposium dalam dialog dalam banyak acara-acara antarabangsa,” katanya lagi.
Tambah Adam, dana yang sama juga boleh digunakan bagi penganjuran mesyuarat, forum, persidangan dan simposium yang dipertimbangkan adalah seperti Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Komanwel, Persatuan Negara-Negara Asia Tenggara (ASEAN), Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.
Permohonan bagi mendapatkan dana itu dibuka mulai hari ini dengan dua tarikh tutup utama iaitu pada 3 Mei dan 1 Ogos.
Maklumat lanjut boleh didapati melalui laman web rasmi Kementerian di www.kbs.gov.my/iyf. – MalaysiaGazette