KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) memulakan siasatan terhadap Sin Chew Daily berkaitan ilustrasi Jalur Gemilang dalam bentuk yang tidak lengkap pada muka hadapan akhbar bertarikh 15 April.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, siasatan dijalankan bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] dan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 [Akta 301].
“Perbuatan menyiarkan Jalur Gemilang tanpa simbol bulan sabit yang merupakan lambang kepada kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan adalah suatu kecuaian yang serius dan tidak sewajarnya dilakukan.
“Selain itu, perbuatan ini juga bukan sahaja mencerminkan kelalaian profesionalisme, malah boleh mencetuskan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat majmuk negara ini,” kata KDN dalam kenyataan.
Serentak itu KDN telah memanggil pihak Sin Chew Daily hari ini bagi tujuan siasatan dan satu Surat Tunjuk Sebab juga telah diserahkan.
KDN menurutnya, tidak akan bertoleransi dengan mana-mana pihak yang cuba menggugat serta mengancam kestabilan, keharmonian dan kesejahteraan negara.
Jelas beliau, Jalur Gemilang bukan sekadar simbol sebalikya menjadi lambang kedaulatan, perpaduan dan identiti nasional yang wajib dihormati serta dimartabatkan.
Pihak yang gagal mematuhi spesifikasi rasmi bendera seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 [Akta 414] boleh dikenakan tindakan berdasarkan undang-undang semasa yang berkuatkuasa.
Banyak pihak hari ini mengkritik ilustrasi yang dipaparkan dalam akhbar cetak Sin Chew Daily selepas ketiadaan bulan sabit yang menjadi lambang kepada agama Islam sebagai agama rasmi negara pada Jalur Gemilang.
Pakar bahasa dan perpaduan, Datuk Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, permohonan maaf semata-mata tidak memadai bagi kesalahan yang disifatkan amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku itu.
Katanya, hukuman paling maksimum perlu dikenakan kepada pihak bertanggungjawab dalam insiden kesilapan bendera Jalur Gemilang.
Seorang pensyarah, Dr Azizul Azli Ahmad berkata, beberapa tafsiran boleh dibangkitkan secara kritis berdasasarkan analisis semiotik terhadap visual muka depan akhbar Sin Chew Daily.
Katanya, ketiadaan bulan sabit membuang identiti Islam dalam simbol negara dan ini sangat signifikan kerana bulan sabit adalah elemen utama yang membezakan Jalur Gemilang daripada bendera lain.-MalaysiaGazette