Ramkarpal Singh

KUALA LUMPUR – Kenyataan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat supaya Perdana Menteri dikecualikan daripada proses pelantikan kehakiman tidak seharusnya ditafsir sebagai serangan terhadap kerajaan.

Sebaliknya, bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Ramkarpal Singh berkata, kenyataan Tengku Maimun itu perlu dilihat sebagai pandangan profesional ke arah memperkasakan institusi kehakiman negara.

Menyifatkan pandangan Tengku Maimun itu sebagai bernas dan wajar diberi pertimbangan serius, Ramkarpal yang juga Ahli Parlimen Gelugor turut membangkitkan mengenai krisis kehakiman pada 1988 yang telah menjejaskan keyakinan awam terhadap badan kehakiman.

Malah, beliau yang juga seorang peguam berkata, krisis kehakiman tersebut telah menyaksikan hakim kanan dipecat dan digantung dan mengambil masa puluhan tahun untuk dipulihkan seperti yang dinyatakan Tengku Maimun sendiri.

“Adalah diharapkan agar kerajaan terus menerima pandangan-pandangan yang membina seperti ini dalam usaha berterusan ke arah reformasi institusi yang lebih holistik dan berkesan,” katanya menerusi kenyataan semalam.

Media sebelum ini melaporkan kenyataan Tengku Maimun yang menyebut menghapuskan peranan Perdana Menteri dalam pelantikan hakim boleh membantu mengikis persepsi wujudnya pengaruh politik terhadap badan kehakiman.

Berucap pada Persidangan Undang-undang Komanwel ke-24 di Malta, Tengku Maimun turut dipetik berkata, sejak kebelakangan ini, terdapat cadangan supaya Akta Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) 2009 dan Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi mengeluarkan peranan Perdana Menteri dalam proses pelantikan hakim.

Bagaimanapun, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen), Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menyifatkan kenyataan Tengku Maimun itu tidak profesional kerana bukan sahaja memalukan rakyat Malaysia di mata dunia, malah memberi imej buruk kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sementara itu, mengulas kenyataan Mohamed Nazri, Ramkarpal Singh berkata, bekas Duta Malaysia ke Amerika Syarikat (AS) itu seharusnya memahami reformasi undang-undang dan institusi memerlukan perubahan daripada amalan terdahulu yang telah terbukti tidak lagi relevan atau sesuai dengan keperluan semasa negara.

Menurutnya, ia jelas dapat dilihat menerusi langkah kerajaan memansuhkan hukuman mati mandatori pada 2023 dan pelaksanaan kajian ke arah pemisahan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya, iaitu usaha penting dalam memperkukuh sistem pendakwaan negara.

“Jika mengikut logik yang dikemukakan oleh Nazri, maka reformasi seperti ini tidak seharusnya dipertimbangkan semata-mata kerana sistem tersebut telah lama diamalkan.

“Ini sendirinya merupakan satu pandangan yang ketinggalan zaman!” katanya. – MalaysiaGazette

 

 

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here