SEPANG- Kerajaan Negeri Selangor menolak dakwaan penempatan sementara yang ditawarkan kepada mangsa letupan gas di Putra Heights baru-baru ini terletak di kawasan terpencil dan tidak strategik.
Menurut Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri, Datuk Borhan Aman Shah, insiden letupan paip gas ini berlaku dalam keadaan mengejutkan tanpa jangkaan, pastinya kerajaan negeri akan cuba sedaya upaya menyalurkan segala bantuan serta kemudahan mengikut pelbagai perkiraan.
Katanya, pemilihan Pangsapuri Seri Suria di Kota Warisan dibuat selepas mengambil kira kekosongan unit serta kesesuaian segera untuk diduduki.
“Kita tidak pilih tempat sebarangan. Bila berlaku insiden mengejut seperti ini, kita kena cari lokasi yang tersedia, lengkap dan sedia dihuni.
“Sebenarnya lokasi ini tidak terpencil malah ada mangsa yang bekerja berhampiran sini sebelum ini,” katanya kepada media selepas Majlis Penyerahan Kunci Penempatan Sementara kepada mangsa di Pangsapuri Seri Suria, Kota Warisan Sepang di sini, hari ini.

Borhan menegaskan, walaupun terdapat beberapa lokasi lain yang lebih dekat dengan kawasan letupan, semua unit di kawasan itu telahpun didiami dan tidak mempunyai kekosongan.
“Yang benar-benar kosong dan layak untuk dijadikan penempatan segera cuma di sini. Jaraknya sekitar 30 kilometer dari Putra Heights, dan paling penting, fasiliti lengkap tersedia,” ujarnya lagi.
Untuk makluman unit yang ditawarkan menerusi Skim Smart Sewa ini merupakan rumah pangsa baharu dengan dua lot parkir, dilengkapi lampu, kipas, kemudahan elektrik dan air.
Unit ini juga disediakan kerajaan negeri tanpa memerlukan deposit, dengan sewa hanya RM850 sebulan jauh lebih rendah daripada nilai pasaran iaitu RM1,200.
“Kerajaan Negeri juga beri bantuan tunai RM2,000 untuk enam bulan pertama. Jadi dalam tempoh itu, sebahagian besar beban kewangan mereka sudah ditanggung,” jelasnya.
Beliau juga mendedahkan setakat ini, 75 orang mangsa telah mendaftar untuk memohon unit ini dan kira-kira separuh akan memilih untuk berpindah ke situ.
“Selepas tempoh enam bulan, mereka boleh memohon untuk meneruskan sewaan, bergantung pada kelayakan.
“Fokus kita adalah kebajikan. Kita mahu mereka ada tempat tinggal yang selesa dan selamat sementara menanti pemulihan menyeluruh,” katanya lagi.
Tawaran ini adalah sebahagian daripada komitmen Kerajaan Negeri Selangor seliaan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari yang telah memperuntukkan 100 unit Smart Sewa untuk mangsa tragedi dengan sebahagian besar ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan negeri. – MalaysiaGazette