KENYATAAN media Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkenaan isu kerjasama dengan PH menjelang PRN-17 Sabah.

KUALA LUMPUR – UMNO Sabah kini kembali berada dalam radar politik nasional dalam perbualan media, perhatian rakyat, dan pertimbangan parti-parti lain.

Ketua Penerangan UMNO Sabah, Datuk Suhaimi Nasir berkata, ia berlaku selepas kenyataan Ketua UMNO Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin tentang kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 telah mencetuskan pelbagai reaksi.

Menurut beliau, dari sudut komunikasi politik, apa yang dilakukan oleh Bung Moktar itu adalah strategi dan pendekatan terancang untuk membentuk sentimen rakyat, menguji reaksi politik dan menguasai kembali naratif media menjelang pilihan raya penting.

Jelasnya, dengan membuka wacana tentang keterbukaan terhadap kerjasama khususnya dengan sebuah gabungan yang menguasai kerajaan Persekutuan, UMNO Sabah sedang menghantar mesej bahawa parti itu masih relevan, fleksibel, dan strategik dalam pendekatan politiknya.

“Ini bukan kenyataan rambang. Ini mesej yang dikira dengan teliti.

“Dalam dunia sains politik, ini juga dikenali sebagai agenda `setting’ iaitu menukar tumpuan media dan rakyat daripada isu dalaman parti kepada kemungkinan kerjasama masa depan yang membawa harapan dan kestabilan.

“Ia membolehkan UMNO Sabah menguasai kitaran media, menyuntik semula semangat jentera parti, dan mengukuhkan kedudukannya dalam landskap politik negeri dan nasional,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, pelbagai pihak memberikan reaksi susulan kenyataan Bung Moktar yang UMNO dan BN akan bekerjasama dengan PH menjelang PRN-17 Sabah yang dijangka hujung tahun ini.

Antaranya ialah Pengerusi DAP Sabah, Datuk Phoong Jin Zhe yang menyifatkan belum ada keputusan rasmi berhubung kerjasama dengan BN, manakala PKR Sabah mahukan BN negeri itu menjernihkan dahulu hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi mengelakkan PH tersepit menjelang PRN itu.

Sementara itu, Suhaimi yang juga Ahli Parlimen Libaran berkata, perlu difahami ungkapan seperti `pintu rundingan sentiasa terbuka’ yang ditekankan Bung Moktar bukan satu bentuk komitmen rasmi.

Sebaliknya, kata beliau, ia adalah alat komunikasi strategik untuk menilai reaksi akar umbi, membuka ruang rundingan dan mencipta kelebihan politik dalam rundingan yang akan datang.

“Soal sama ada kerjasama ini akan berlaku atau tidak adalah perkara kedua.

“Yang penting sekarang ialah UMNO Sabah kembali berada dalam radar politik nasional dalam perbualan media, perhatian rakyat, dan pertimbangan parti-parti lain.

“Kepada mereka yang memilih untuk memperlekeh strategi ini: ketahuilah bahawa dalam politik hari ini, siapa yang menguasai persepsi, dia yang memacu momentum.

“Politik bukan tentang tunggu lampu hijau, pemimpin sebenar ialah mereka yang berani mencipta jalan baharu.

“Dan hari ini, UMNO Sabah sedang merintis laluan itu di bawah kepimpinan Datuk Seri Bung Moktar,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here