KUALA LUMPUR – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump menyifatkan lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Asia Tenggara ketika ini bertujuan `mengenakan’ negara itu.
Bercakap kepada pemberita di Rumah Putih beberapa jam selepas Jinping memulakan lawatan di Vietnam, Trump berkata, pertemuan itu mungkin menjadi platform untuk membincangkan cara untuk merugikan AS.
“Saya tak salahkan China, saya tak salahkan Vietnam,”.
“Itu satu pertemuan yang indah. Pertemuan seperti, cuba fikirkan, ‘bagaimana kita nak kenakan Amerika Syarikat?’” katanya seperti dilaporkan portal independent.co.uk pada Isnin.
Jinping yang kini berada di Malaysia memulakan lawatan lima harinya ke Asia Tenggara di Vietnam sebelum ke Kemboja iaitu negara-negara yang turut dikenakan tarif tinggi oleh pentadbiran Trump.
Trump sebelum ini turut mengenakan kadar tarif efektif sebanyak 145 peratus ke atas eksport China ke AS yang mana disifatkan Beijing sebagai tindakan tidak adil.
Ekoran itu, Beijing membalas dengan mengenakan tarif sebanyak 125 peratus ke atas barangan dari AS, sekali gus memulakan perang perdagangan yang mencetuskan kebimbangan kegawatan ekonomi di seluruh dunia.
Trump kemudiannya membuat pengecualian tarif import berganda itu bagi kategori barangan tertentu seperti komputer, telefon pintar dan cip yang diimport dari negara pengeluar utama Asia itu.
Lawatan Jinping ke Vietnam berlangsung selepas Setiausaha Agung Jawatankuasa Pusat Parti Komunis Vietnam (CPV), To Lam menggesa hubungan perdagangan yang lebih kukuh dengan jiran besarnya itu. – MalaysiaGazette