KUALA LUMPUR – Kerajaan menerusi Kementerian Komunikasi menegaskan Menara Kuala Lumpur ialah milik kerajaan.
Bermula 1 April 2025, pengoperasian, pengurusan dan penyelenggaraan Menara Kuala Lumpur telah diambil alih oleh syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM), kata kenyataan Kementerian Komunikasi malam ini.
Menurutya, pendudukan syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) di atas tapak Menara Kuala Lumpur selepas 31 Mac 2025 adalah tidak sah.
Sehubungan dengan itu, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengemukakan dua notis pengosongan kepada pihak MKLSB melalui surat bertarikh 3 April 2025 dan 9 April 2025.
“Oleh itu, sebarang pengoperasian dan urus niaga yang masih dijalankan oleh MKLSB hingga kini adalah tanpa kebenaran kerajaan.
“Demi keselamatan dan keselesaan pengunjung serta bagi memberi ruang kepada pengurusan baharu untuk membuat kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan, bangunan Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu,” kata kenyataan yang sama.
Tarikh pembukaan semula Menara Kuala Lumpur akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media, katanya. – MalaysiaGazette