KUALA LUMPUR – Surat khabar berbahasa Cina yang memaparkan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit pada muka hadapan bernasib baik kerana negara tidak lagi mempunyai Akta Keselamatan Dalam Negeri atau ISA.
Pengarah Institut Pemikiran dan Kepimpinan Melayu (IMPAK) Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dr Khairudin Murad berkata, adalah mustahil bagi sebuah akhbar yang berpengalaman membenarkan kesilapan besar berlaku.
Tegasnya, bulan sabit pada Jalur Gemilang merupakan simbol Islam sebagai agama rasmi negara.
“Anda tahu dari segi semiotik bendera itu melambangkan negara bangsa, negara yang berdaulat tetapi anda membuat kesilapan yang paling mudah di muka depan dan berwarna. Ini bukan buletin, ini surat khabar.
“Kita cakap pasal gatekeeper dekat media. Muka depan dan pada setiap peringkat muka surat akhbar mesti ada gatekeeper.
“Okaylah kalau sudah terlepas gatekeeper di peringkat editorial, kemudiah hantar untuk cetakan takkan tak ada orang tengok. Jadi memang ada sesuatu yang tidak kena,” jelasnya.
Menurut beliau, apabila berlaku kesilapan pada Jalur Gemilang pada masa sama terdapat bendera negara China yang tidak mempunyai sebarang kecacatan sudah pasti mengundang mesej negatif kepada orang ramai.
Ada yang mungkin memberi tanggapan bahawa bendera yang cacat mewakili wilayah baharu sekali gus memberi gambaran seolah-olah berlaku propaganda secara halus.
“Dari segi simbolisme, kalau kita buat kajian mendalam, analisis, kita meletakkan sebagai propaganda halus,” jelasnya.
Sementara itu Khairudin mencadangkan tindakan tegas diambil terhadap Sin Chew Daily termasuk menggantung permit penerbitan sekurang-kurangnya selama enam bulan.
Ini kerana penghinaan terhadap simbol negara bukan kali pertama berlaku dan permohonan maaf sudah tidak lagi memberi sebarang makna.
“Kalau zaman ISA dulu memang sudah kena masuk (penjara). Pihak berkuasa jangan terlampau tabu menjadikan ia sebagai kebiasaan. Kita kena tindakan tegas sekali gus menyekat isu ini daripada berulang,” katanya.- MalaysiaGazette
Mempersendakan jata2 negara lebih2 lagi bendera negara atau bendera negeri misalnya seperti memasang bendera Johor secara terbalik bererti mempersendakan YDPA dan mempersendakan kedaulatannya. Mungkin pada mereka undang2 negara ini sudah tidak relevan untuk mencabar kekebalan mereka.