GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang akan menamakan semula Lebuhraya Bandar Cassia di Batu Kawan sebagai Jalan Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai penghormatan kepada bekas Perdana Menteri Kelima yang meninggal dunia pada Isnin lalu.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan (MMK) Negeri yang bersidang hari ini dan dipersetujui sebulat suara.
Beliau turut memaklumkan bendera negeri akan dikibarkan separuh tiang pada Jumaat ini sebagai tanda penghormatan terakhir kepada Allahyarham.
“Cadangan penukaran nama lebuh raya itu amat signifikan kerana Allahyarham telah banyak menyumbang kepada pembangunan negeri termasuk projek Jambatan Kedua Pulau Pinang dan pembangunan Bandar Cassia.
“Antara sumbangan besar lain Allahyarham semasa pentadbirannya termasuk pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, pembangunan Penang Sentral, BORR dan NCER,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kon Yeow menyifatkan pemergian Tun Abdullah sebagai satu kehilangan besar kepada negara khususnya Pulau Pinang, dan berharap segala jasa beliau akan terus dikenang oleh rakyat.
Allahyarham yang merupakan Ahli Perlimen Kepala Batas selama lapan penggal sejak 1978 hingga 2013 menghembuskan nafas terakhir pada usia 85 tahun semasa dirawat di Institut Jantung Negara di Kuala Lumpur pada jam 7.10 malam kelmarin.
Jenazah Allahyarham selamat disemadikan di Makam Pahlawan, Masjid Negara kira-kira jam 2.30 petang semalam. – MalaysiaGazette