KUALA LUMPUR – Calon Ketua Cabang Batu, P Prabakaran menafikan sekeras-kerasnya dakwaan pasukannya terlibat dalam pemberian token kepada pemilih sempena pemilihan PKR pada 19 Mei depan.
Ahli Parlimen Batu itu tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan kepada mana-mana anggota pasukannya sama ada peringkat cabang mahupun sayap parti untuk mengagihkan token sebagaimana dakwaan dalam satu video yang sedang tular.
“Saya ingin menafikan perbuatan tersebut sepenuhnya kerana tiada arahan khusus yang dikeluarkan oleh saya. Menerusi video tersebut turut disebut saya akan memberi token ketika majlis berbuka puasa bersama pengundi.
“Perkara itu sama sekali tidak berlaku dan tiada dalam jadual rasmi pasukan saya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Prabakaran turut menyatakan kesediaannya untuk memberikan kerjasama penuh kepada Jawatankuasa Pemilihan Parti (JPP) bagi membantu siasatan berhubung isu tersebut.
“Saya terbuka untuk memberi kerjasama penuh kepada pihak JPP,” katanya ringkas. – MalaysiaGazette