KUANTAN – Seorang bekas pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipercayai menjadi tali barut kepada sindiket penyeludupan warga asing tanpa melalui pemeriksaan imigresen di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ditahan kerana disyaki menerima suapan melebihi RM10 juta.
Suspek lelaki berusia 50 tahun berbaju lokap SPRM dibawa ke Mahkamah Majistret Kuantan, di sini pada jam 9 pagi tadi untuk proses permohonan tahanan reman.
Majistret Nur Izzati Zakaria kemudian membenarkan suspek direman selama tujuh hari bermula 16 April sehingga 22 April 2025 bagi membantu siasatan kes suspek semasa bekerja di KLIA.
Artikel berkaitan: Tiga pegawai JIM benar warga asing masuk negara tanpa pemeriksaan direman seminggu
Bekas kakitangan yang bersara awal pada 1 Januari tahun lalu itu ditahan Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Pahang pada jam 11.55 malam tadi.
Sebelum itu operasi khas dilancarkan pada Isnin lepas di beberapa lokasi berasingan iaitu di Nilai (Negeri Sembilan), Johor Bahru (Johor), dan Kuala Lumpur berkaitan sindiket berkenaan.
Difahamkan, bekas pegawai imigresen terbabit sebagai dalang melindungi sindiket yang membawa masuk warga asing tanpa melalui prosedur pemeriksaan ketat di KLIA1 dan KLIA2 sejak tahun 2021 hingga 2024.
Pengarah SPRM Pahang, Mohd Shukor Mahmud, ketika dihubungi mengesahkan penahanan terbabit.
Kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009 kerana menerima suapan sebagai dorongan atau balasan. – MalaysiaGazette