Prof. Datuk Dr. Teo Kok Seong

KUALA LUMPUR – Hukuman paling maksimum perlu dikenakan kepada pihak bertanggungjawab dalam insiden kesilapan bendera Jalur Gemilang seperti disiarkan sebuah akhbar berbahasa Cina.

Pakar bahasa dan perpaduan, Prof. Emeritus Datuk Dr. Teo Kok Seong berkata, permohonan maaf semata-mata tidak memadai bagi kesalahan yang disifatkan amat memalukan dan tidak sepatutnya berlaku itu.

Apatah lagi, kata beliau, perkara itu melibatkan sebuah syarikat media berbahasa Cina yang besar dengan pembaca yang ramai serta edaran akhbar yang tinggi.

Jelasnya, adalah mustahil bendera Jalur Gemilang yang salah itu boleh berlaku di sebalik standard prosedur operasi (SOP) ketat sesebuah akhbar yang memerlukan beberapa peringkat tapisan sebelum sesebuah artikel atau grafik diterbitkan.

“Kesan dan implikasi dari kejadian ini sangat besar apatah lagi simbol bulan sabit (anak bulan) yang hilang dalam bendera Jalur Gemilang yang salah itu melambangkan agama Islam sebagai agama Persekutuan.

“Jadi hukuman paling maksimum mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan (mengaibkan dengan niat hendak memecahkan keamanan) perlu dikenakan kepada pihak bertanggungjawab supaya menjadi iktibar dan pengajaran pada masa depan,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Dalam pada itu, Kok Seong yang juga Felo Majlis Profesor Negara (MPN) berkata, selain bendera Jalur Gemilang yang silap, grafik oleh akhbar berbahasa Cina tersebut turut menyinggung rakyat dan negara apabila meletakkan bendera Malaysia di belakang bendera China dengan saiz lebih kecil.

Jelasnya, perkara itu langsung tidak melambangkan semangat nasionalisme dan patriotisme akhbar berkenaan yang sepatutnya memberi keutamaan serta penghargaan kepada negara.

Dalam masa sama, beliau turut mempersoalkan kekerapan insiden serupa sebelum ini seperti bendera Jalur Gemilang dengan bintang lima dan isu rakyat Malaysia yang tidak boleh berbahasa Melayu yang disifatkan perlu dinoktahkan.

“Selepas hampir 70 tahun kita mencapai kemerdekaan, adakah boleh diterima ada rakyat Malaysia yang masih tidak kenal bendera negara sendiri atau tidak boleh berbahasa kebangsaan?

“Apabila ini masih berlaku, ia menunjukkan manifestasi kegagalan kita dalam proses pembentukan negara bangsa dan perkara ini perlu dipandang serius,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, syarikat akhbar Sin Chew Daily telah memohon maaf atas ilustrasi di muka depannya yang mempunyai kesilapan apabila Jalur Gemilang tidak mempunyai anak bulan.

Dalam satu kenyataan, akhbar berbahasa Cina itu mengaitkannya dengan “kesilapan teknikal”.

Ia berkata, versi digital ilustrasi itu telah dipinda serta-merta, dan versi yang dipinda akan diterbitkan semula hari ini dalam cetakan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

2 Komen

  1. Dahulu yang hina jata negara lari luar negara bersarang entah diAustralia atau Eropah? Kerajaan tak buat apa2?

    Hok ni rakyat nak tengok apa tindakan kerajaan? Kelaut lagi ke? Ianya sebuah penghinaan yang besar!!!

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here