Exco Pemuda Amanah Nasional, Dr. Mohamed Nashrudin Naharudin.

KUALA LUMPUR – Tindakan akhbar bahasa Cina, Sin Chew Daily yang menerbitkan imej Jalur Gemilang tanpa elemen bulan sabit mengundang kritikan dan kecaman.

Pengarah Strategi Pemuda Amanah Nasional, Dr. Mohamed Nashrudin Naharudin berkata, pihaknya kesal dan kecewa dengan kecuaian akhbar tersebut yang disifatkan sebagai tidak menghormati simbol kedaulatan negara.

“Kehilangan elemen penting iaitu bulan sabit yang melambangkan Islam sebagai agama Persekutuan adalah sesuatu yang serius kerana ia boleh mencetuskan persepsi negatif termasuk kemungkinan wujudnya agenda tersembunyi.

“Walaupun pihak Sin Chew telah membuat permohonan maaf, kesilapan seperti ini tidak sepatutnya berlaku dalam apa jua keadaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mohamed Nashrudin, kesalahan berkenaan boleh disiasat mengikut Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 yang memperuntukkan penggunaan Jalur Gemilang hendaklah dihormati serta tidak boleh diubah suai sesuka hati.

“Akta ini memperjelaskan sebarang penghinaan terhadap bendera termasuk memaparkannya dalam keadaan tidak lengkap, boleh membawa hukuman denda maksimum RM20,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Insiden itu juga menunjukkan pengabaian terhadap sensitiviti nasional dan beliau menyeru semua pihak supaya lebih berhati-hati agar perkara sebegini tidak berulang.

“Sebagai rakyat Malaysia yang hidup dalam sebuah negara merdeka dan berdaulat adalah menjadi tanggungjawab bersama untuk memelihara maruah negara.

“Ini termasuk dengan menghormati simbol-simbol kebanggaan seperti Jalur Gemilang,” tegasnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast