KUALA LUMPUR – Taktik licik sindiket pengedaran dadah dari Semenanjung Malaysia yang menggunakan alamat tidak berpenghuni bagi menghantar bekalan terlarang ke Sarawak berjaya dihidu pihak berkuasa.
Helah berkenaan telah dikesan oleh Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dalam dua kes berasingan yang berlaku di Miri bulan lalu.
Pengarah JKDM Sarawak, Norizan Yahya berkata, hasil serbuan yang dilakukan pihaknya berjaya menumpaskan cubaan menyeludup dadah jenis pil ecstasy seberat 7,072 gram dan ketamin seberat 1,012 gram yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM1.2 juta.
“Serbuan dilakukan pada 14 Mac lalu sekitar jam 2.00 petang oleh sepasukan anggota dari Cawangan Narkotik JKDM Sarawak ke atas sebuah syarikat perkhidmatan kurier di Eastwood Valley Industrial Park, Miri.
“Hasil pemeriksaan terhadap sebuah kotak kiriman menemukan dadah jenis ecstasy seberat 3,613 gram dianggarkan bernilai RM603,371 serta ketamin seberat 1,012 gram dengan nilai anggaran RM50,600,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap satu lagi kotak kiriman di premis yang sama turut menemukan dua bungkusan mengandungi ecstasy seberat 3,459 gram dengan nilai anggaran RM577,653.
Tambah beliau, siasatan mendapati sindiket tersebut menggunakan perkhidmatan kurier udara dari Semenanjung ke Sarawak dengan menghantar bungkusan ke alamat yang tidak berpenghuni bagi mengelakkan dikesan pihak berkuasa.
“Dadah tersebut turut dibungkus bersama produk makanan bagi mengelirukan pihak berkuasa,” ujarnya.
Kes kini disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhkan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sekiranya hukuman penjara seumur hidup dikenakan, pesalah akan dikenakan tidak kurang daripada 15 sebatan.
Sehubungan itu, Norizan menyeru orang awam agar menyalurkan maklumat berkaitan di talian bebas tol kastam 1-800-88-8855 atau di mana-mana pejabat kastam yang terdekat bagi sebarang kegiatan penyeludupan seperti rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain. – MalaysiaGazette.