Dr Mohd Yadzil Yaakub

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) digesa berlaku adil dengan siasatan terhadap mantan Timbalan Yang Di Pertua Dewan Negara dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tangga Batu, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, Dr Mohd Yadzil Yaakub berkata, badan siasatan itu turut perlu memanggil mantan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali dan penjawat jawatan itu kini, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

“Kenapa SPRM tidak menyiasat Datuk Seri Utama Sulaiman yang merupakan Ketua Menteri daripada UMNO pada ketika itu?

“Kenapa siasatan tidak dibuat juga kepada Datuk Seri Utama Rauf yang pada ketika itu merupakan Ketua Badan Perhubungan Negeri UMNO Melaka yang dikatakan menjadi penentu segala keputusan Ketua Menteri pada ketika itu?

“Siapa Exco atau Timbalan Exco dari UMNO yang terkait dengan kelulusan konsesi tambakan laut?

“Kenapa Datuk Seri Utama Idris Harun (Mantan Ketua Menteri UMNO) tidak disiasat sedangkan nama beliau disebut dalam laporan polis dan SPRM berkaitan kes ini?, soal Mohd Yadzil.

Semalam, SPRM menahan Mohamad Ali yang juga timbalan Ketua Penerangan Bersatu berhubung dakwaan rasuah.

Menurut peguamnya. Rafique Rashid Ali, Mohamad Ali yang juga bekas ahli dewan undangan negeri ditahan pada pukul 6.30 petang, ketika pasukan SPRM menyerbu rumahnya di Tangga Batu di Melaka.

SPRM turut mengambil keterangan daripada isteri dan anak-anaknya di pejabatnya di Melaka, dan mereka dibebaskan kira-kira pada pukul 9 malam, semalam.

Mengulas lanjut, Mohd Yadzil berkata, SPRM perlu menyiasat perkara ini dengan telus dan tuntas.

Katanya, badan siasatan itu juga perlu memastikan semua pihak yang terbabit, pemberi, penerima dan yang bersubahat dikesan, disiasat, dan didakwa bersama dengan adil tanpa prejudis

“Tuntaskan segera siasatan isu konsesi pasir yang telah timbul sejak sebelum PRN Melaka 2021 yang lalu dan yang menjadi antara punca kemelut politik di Melaka sehingga terbubarnya DUN Melaka waktu tempoh PKP 3 tahun lalu.

“Semua yang terlibat harus didedahkan kepada umum agar rakyat Melaka terutamanya siapa dalang di sebalik isu pasir di Melaka,” katanya lagi.

Mohamad Ali direman enam hari bermula semalam bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah berkaitan kerja-kerja tambakan laut antara 2021 hingga 2023.

Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman mengeluarkan perintah reman hingga 20 April terhadap lelaki berusia 61 tahun itu selepas menerima permohonan daripada SPRM.

Suspek disiasat kerana disyaki meminta suapan terhadap projek tambakan laut bernilai RM44 juta di Kota Laksamana, di Melaka sejak lima tahun lepas. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here