Situasi malam Menara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 31 MAC 2025.

KUALA LUMPUR – Seramai 193 daripada keseluruhan 205 kakitangan Menara Kuala Lumpur yang ditamatkan perkhidmatan oleh syarikat konsesi lama pada 31 Mac lalu bakal diserap semula dalam syarikat pengurusan baharu iaitu LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pihaknya akan memastikan kebajikan para pekerja terbela dan menetapkan syarat agar kesemua kakitangan berpengalaman ditawarkan semula pekerjaan tanpa sebarang pengurangan dari segi gaji atau faedah.

“Ramai dalam kalangan pekerja ini sudah berkhidmat antara 17 hingga 20 tahun dengan Menara Kuala Lumpur dan mereka tahu selok-belok bangunan dan telah lama bekerja di situ.

“Maka syarikat baharu telah menawarkan dengan syarat no less favourable (tidak kurang menguntungkan). Kalau gaji mereka pada tahap tertentu dengan syarikat lama, tidak boleh kurang daripada apa yang mereka terima,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Katanya lagi, Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula hari ini bagi memberi laluan kepada kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan susulan pertikaian dalam proses pengambilalihan konsesi.

Fahmi menambah, pengambilalihan rasmi pengurusan menara oleh syarikat baharu telah dilakukan bermula 1 April lalu selepas kontrak pengendali terdahulu, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) tamat pada 31 Mac.

Bagaimanapun, katanya, disebabkan syarikat lama enggan mengosongkan premis, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan telah mengambil tindakan memasuki premis pada malam1 Syawal iaitu pada 12 April mengikut peruntukan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara.

“Premis itu adalah hak milik sepenuhnya kerajaan Malaysia dan kini di bawah seliaan rasmi Kementerian Komunikasi.

“Kita perlu bertindak segera agar syarikat baharu boleh memulakan operasi dan menjalankan kerja-kerja penting bagi menjamin keselamatan pengunjung,” jelasnya.

Menurut beliau, hasil pemeriksaan awal mendapati banyak kerosakan dikenal pasti di kawasan restoran berputar, ruang dapur serta pagar keselamatan (reeling) yang boleh menjejaskan keselamatan pelawat.

“Kita lihat ada reeling yang berada di dek telah diturunkan… ini saya rasa agak merisaukan dan sekiranya menara dibuka, kita akan umumkan tarikh (tarikh) pembukaan,” ujarnya.

Sebelum ini, media melaporkan Hydroshoppe Sdn Bhd – pemegang saham tunggal MKLSB – telah menyaman kerajaan bagi menuntut ganti rugi sebanyak RM1 bilion berhubung penamatan perjanjian pengendalian Menara KL. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here