PUTRAJAYA – Seramai 31,000 bakal jemaah haji bagi musim 1446H/2025M telah menjalani pemeriksaan dan didaftarkan menerusi sistem International Patient Summary (IPS) melalui aplikasi MySejahtera setakat semalam.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, sistem IPS yang mula diperkenalkan pada 2023 itu akan diteruskan bagi musim haji tahun ini sebagai sebahagian daripada inisiatif pendigitalan kesihatan jemaah.
Jelas beliau, menerusi sistem itu, maklumat kesihatan seperti sejarah perubatan, rekod ubat dan alahan kini diintegrasikan secara langsung dengan sistem pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).
Menurutnya, proses pendigitalan sepenuhnya itu merangkumi penggunaan Kod QR Rekod Kesihatan Haji bagi membolehkan maklumat kesihatan jemaah dikongsi secara selamat dan efisien dengan fasiliti kesihatan di Arab Saudi, termasuk pasukan perubatan Arab Saudi sendiri.
“Sistem ini menjadi kemestian kepada semua bakal haji jemaah kita dan ia juga mendapat maklum balas yang baik daripada Kerajaan Arab Saudi yang mana fasiliti kesihatan di negara itu menggunakannya untuk akses kepada rekod perubatan jemaah kita sekiranya mereka menerima rawatan atau dimasukkan ke hospital di sana,” katanya dalam sidang akhbar, di sini, hari ini.
Terdahulu, beliau menghadiri Majlis Perjumpaan Pengurusan Tertinggi KKM Bersama Rombongan Petugas Haji (Perubatan) ke Tanah Suci Mekah untuk Musim Haji 1446H/2025M, di sini. hari ini.
Sementara itu, Dr. Dzulkefly berkata, seramai 274 petugas perubatan daripada pelbagai bidang akan bertugas di Arab Saudi bagi menyokong keperluan kesihatan jemaah haji Malaysia sepanjang musim ibadah itu tahun ini.
Katanya, mereka yang terdiri daripada kumpulan doktor perubatan, pergigian, dietetik, farmasi, jururawat dan ramai lagi akan mula berlepas ke Arab Saudi pada 21 April ini.
Jelasnya, meskipun jumlah petugas haji perubatan itu sedikit berkurang berbanding tahun sebelum ini, namun ia disifatkan mencukupi berdasarkan pengalaman serta keberkesanan pengurusan KKM termasuk menerusi pendekatan digitalisasi yang digunakan.
“Saya mendoakan semua petugas haji perubatan KKM ini juga membuat persiapan yang baik supaya mereka dapat melunaskan tanggungjawab dengan penuh amanah, empati dan ihsan.
“Dan mudah-mudahan kita dapat terus memastikan jemaah haji Malaysia mendapat perkhidmatan kesihatan yang terbaik sebelum, semasa dan selepas menunaikan ibadat haji,” katanya.
Sementara itu, ditanya berkenaan cabaran jemaah haji musim ini, Dr. Dzulkefly berkata, mereka juga dijangka berdepan cuaca panas terik seperti musim tahun lalu dengan suhu yang boleh mencecah melebihi 50 darjah Celcisus.
“Jadi adalah mustahak untuk setiap bakal jemaah haji memastikan mereka sentiasa mengambil air yang mencukupi dan mengelak daripada terdedah kepada cuaca panas terik supaya tidak mengalami dehidrasi,” katanya. – MalaysiaGazette