GEORGE TOWN – Tindakan segelintir peniaga di sebuah medan selera di Jalan Burma di sini, mengaut keutungan dengan menggajikan pendatang asing tanpa izin (PATI) terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen (JIM) Pulau Pinang hari ini.
Ops Bersepadu JIM Zon Utara melibatkan JIM Pulau Pinang, Perak dan Kedah itu membawa kepada tangkapan 37 warga asing berusia antara 21 hingga 48 tahun.
Pengarah JIM Pulau Pinang, Nur Zulfa Ibrahim berkata, kesemua mereka ditahan disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Dalam serbuan itu, seramai 31 lelaki dan wanita Myanmar ditahan dan diikuti lelaki Bangladesh (2), Vietnam (2) manakala masing-masing seorang warga Pakistan serta Indonesia.
“Ketika serbuan dibuat kesemua tangkapan berada dalam keadaan bertempiaran namun tiada PATI yang berjaya memloloskan diri susulan penguat kuasa kita telah mengepung kawasan ini,” katanya kepada pemberita di lokasi serbuan.
Mengulas lanjut Nur Zulfa berkata, pihaknya juga akan mengambil tindakan terhadap majikan yang menggajikan PATI di medan selera ini.

“Majikan yang menggajikan PATI dianggap melakukan kesalahan serius yang boleh dihukum denda dan penjara.
“Justeru, kita memberi peringatan kepada majikan supaya menitikberatkan isu terbabit,” katanya.
Tambah beliau, operasi sebegini akan terus dilaksanakan dalam usaha membanteras PATI dan pihaknya memberi amaran tindakan penguatkuasaan operasi akan dipergiatkan tanpa mengira lokasi mereka berada. – MalaysiaGazette