Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin

KUALA LUMPUR – Kesilapan cetakan akhabar yang menggunakan ilustrasi Jalur Gemilang tidak cukup “sifat” atas alasan akibat penggunaan teknologi Kecerdasan Buatan (AI) dilihat tidak masuk akal.

Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman Tengku Zainol Abidin berkata, alasan itu tidak boleh diterima apatah lagi melibatkan seorang penyunting berita yang merupakan warganegara tempatan.

“Tak masuk akal bagaimana seorang editor warganegara Malaysia boleh terlepas pandang bendera Jalur Gemilang?

“Alasan akibat penggunaan teknologi AI tidak boleh diterima kerana sudah semestinya bagi tujuan penerbitan, proses membaca pruf harus dilaksana.

“Kesalahan ini sangat serius dan seingat saya kalau dahulu kala perkara sebegini berlaku pihak KDN akan menggantung lesen percetakan dan syarikat dikehendaki membuat rayuan.

“Kalau tidak silap saya, ia pernah dikenakan terhadap akhbar The Star & The Echo di penghujung 1970an,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Terdahulu akhbar Sin Chew Daily dalam kenyataannya meminta maaf dan kesal atas kesilapan teknikal yang tidak disengajakan susulan penggunaan ilustrasi bendera kebangsaan Jalur Gemilang tanpa bulan sabit.

Jelasnya, pindaan segera telah dilakukan kepada ilustrasi versi digital, ilustrasi yang telah dipinda dan disempurnakan akan diterbitkan semula hari ini dalam versi cetak akhbar.

Tengku Azman berkata, kesilapan itu tidak boleh diterima, apatah lagi usia penerbitan akhbar itu mencecah hampir 96 tahun.

“Bendera adalah identiti negara dan bendera Malaysia mempunyai elemen-elemen tersendiri. Bulan sabit berwarna kuning melambangkan agama Islam dan merupakan agama rasmi negara hilang.

“Sebagai penerbit akhbar yang cukup pengalaman sejak 1929 dan dilesenkan oleh Kementerian Dalam Negeri, sudah semestinya kesilapan sebegini tidak boleh diterima.

“Jika kesilapan fakta boleh mengundang saman apakah kesalahan memperlekehkan Bendera Jalur Gemilang identiti Malaysia tidak perlu diambil tindakan?” katanya lagi. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

1 Komen

  1. Kalau setakat komen tanpa tindakan tegas , akan tetap berulang diulang ulang ulang ulang..sebab boleh minta maaf terus kerajaan melupakan…begitu lah seterusnya sampai bila bila. ..kenapa apa.????jawapan ada dimana mana menteri dan badan penguatkuasa yg lemah.

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here