BAYAN LEPAS – Hasrat seorang bapa meluangkan masa bersama rakan dari Kuala Lumpur bertukar tragedi apabila anak lelakinya ditemui lemas dalam kolam mandi sebuah inap desa di Teluk Kumbar, di sini, semalam.
Mangsa berusia tiga tahun itu disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan sebaik tiba di Hospital Balik Pulau.
Ketua Polis Daerah Barat Daya, Asisten Komisioner Sazalee Adam berkata, hasil siasatan mendapati bapa mangsa yang berusia 46 tahun itu membawa tiga orang anaknya ke inap desa berkenaan untuk bertemu dengan rakannya yang datang melawat dari ibu negara.
Ibu mereka tidak ikut sama susulan sedang bekerja di sebuah kilang di Bayan Lepas, di sini.

Jelasnya, kehilangan mangsa disedari rakan lelaki tersebut dan memaklumkannya sebelum mereka mencari kanak-kanak itu di sekitar kawasan inap desa.
“Hasil pencarian mereka membawa kepada penemuan mangsa dalam keadaan tidak sedarkan diri serta terapung di dalam kolam mandi berkenaan.
“Susulan itu, rakan lelaki tersebut menghubungi pihak ambulans sebelum mangsa dibawa ke Hospital Balik Pulau untuk rawatan lanjut.
“Bagaimanapun sebaik tiba di hospital jam 11.40 malam, doktor mengesahkan mangsa telah meninggal dunia,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah Sazalee, hasil bedah siasat yang dijalankan terhadap mangsa jam 10 pagi tadi mendapati punca kematian disebabkan lemas.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001,” katanya. – MalaysiaGazette