PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika meraikan delegasi Presiden China, Xi Jinping dalam majlis makan malam di Seri Perdana, Putrajaya, petang semalam. – Foto: FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Malaysia melihat China sebagai rakan yang rasional, stabil dan berprinsip dalam dunia yang kian mencabar, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Menurut Perdana Menteri, Malaysia menghargai kestabilan itu dan akan terus menjadi sahabat, berpaksikan sejarah dan berwawasan masa depan.

Memetik pepatah Melayu air dicincang tidak akan putus, kata Anwar, begitu juga ikatan antara Malaysia dan China yang diuji waktu, namun tetap bersemi dan tidak terlerai.

“Moga persahabatan Malaysia-China terus mekar sedalam lautan, seteguh bintang di langit, dan segemilang harapan yang menyingsing kemakmuran masa depan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Terdahulu, Anwar berkata, beliau petang semalam meraikan kunjungan Presiden China, Xi Jinping bersama delegasi negara itu di Seri Perdana dalam majlis makan malam sempena lawatan negara ke Malaysia, dalam suasana persahabatan.

Menurut beliau, lawatan negara yang pertama sejak 12 tahun lalu oleh Jinping itu adalah simbolik dan lambang ikatan persahabatan sejati Malaysia-China yang telah terjalin sejak sekian lama, dan keakraban tersebut terus utuh dan diperkukuh atas sikap kepercayaan, hormat dan kejujuran.

Jelasnya, di saat dunia menyaksikan perubahan landskap geopolitik dan beberapa pihak meninggalkan prinsip tanggungjawab kolektif, inisiatif global yang diketengahkan oleh China membuka ruang baharu untuk pembaharuan dan kerjasama.

“Saya ulangi rasa hormat dan penghargaan atas kepimpinan Presiden Xi yang lantang membicarakan soal prinsip perkongsian kemakmuran dan mengangkat nilai ketamadunan dan kemanusiaan sejagat.

“Prinsip dan pendirian Presiden Xi nyata berbeza dengan sikap segelintir negara yang mula meninggalkan prinsip perkongsian tanggungjawab, menghalakan keutamaan untuk mengasah perseteruan dan mempersenjatakan ekonomi,” katanya.

Jinping mengakhiri lawatan negaranya ke Malaysia hari ini, selepas tiba Selasa lalu, atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang turut berkenan meraikan Jinping dan delegasinya dalam satu majlis santapan negara.

Sepanjang lawatannya, Jinping dan Anwar berkesempatan membincangkan kerjasama dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu serantau dan antarabangsa yang menjadi kepentingan bersama, selain menyaksikan majlis penandatanganan 31 memorandum persefahaman (MoU) dalam pelbagai bidang.

Kunjungan ke Malaysia itu juga sebahagian daripada siri lawatan negara pertama Jinping tahun ini yang bermula di Vietnam dan berakhir di Kemboja.

Kali terakhir Presiden China itu mengadakan lawatan negara ke Malaysia ialah pada 2013, menyaksikan kedua-dua negara meningkatkan hubungan diplomatik kepada Perkongsian Strategik Komprehensif. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here