KUALA LUMPUR – Gerakan Kuasa Rakyat Sabah (G57) hari ini membuat laporan polis terhadap pentadbir akaun laman media sosial di Facebook, Telegram dan TikTok kerana memuat naik hantaran berbaur fitnah terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor, antara 7 hingga 15 April lalu.
Pengerusinya, Datuk Zulkarnain Mahdar berkata, empat pentadbir itu akaun media sosial itu ialah Demi Rakyat dan Mawar Channel (Facebook), Edisi Siasat (Telegram) serta atanleecasofficial17 (TikTok).
“Kesemua laporan polis terhadap hantaran fitnah, jijik dan jahat itu dibuat bagi menggesa Polis DiRaja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas dan sewajarnya bersandarkan undang-undang sedia ada.
“Fitnah itu perlu dibendung bagi mengelak masalah dan menimbulkan keadaan kucar-kacir dalam kalangan penyokong Gabungan Rakyat Sabah–Pakatan Harapan (GRS-PH) serta Parti Warisan Sabah (Warisan),” katanya kepada MalaysiaGazette, hari ini.
Terdahulu beliau membuat laporan polis terhadap empat pentadbir laman media sosial tersebut di Balai Polis Karamunsing, Kota Kinabalu, hari ini.
Zulkarnain mendakwa, kesemua pentadbir akaun laman media sosial terlibat dipercayai didalangi oleh jentera Warisan.
“Harus diingat apabila tindakan tidak diambil kekhuatiran kami penyebar fitnah akan terus memfitnah dan tindak balas secara agresif akan dilakukan pula oleh penyokong GRS-PH,” dakwanya.
Antara hantaran berbaur fitnah yang dimuat naik pentadbir akaun Facebook Demi Rakyat ialah rakaman audio berlatarbelakangkan wajah dan suara menyerupai Hajiji berkaitan siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – MalaysiaGazette