Warga asing yang ditahan JIM Kuala Lumpur dalam Tindakan Khas KL Strike Force di sekitar kawasan perniagaan di Jalan Thamby Abdullah, Brickfields.

KUALA LUMPUR – Empat daripada lapan premis yang diperiksa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) ditutup serta-merta dalam Operasi Tindakan Khas KL Strike Force di sekitar kawasan perniagaan di Jalan Thamby Abdullah, Brickfields.

Tindakan itu dibuat di bawah peruntukan Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016 serta UUK Pelesenan dan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.

Selain itu, DBKL turut mengeluarkan tujuh notis kompaun atas pelbagai kesalahan di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 dan UUK Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (WPKL) 2016.

Operasi Tindakan Khas KL Strike Force dijalankan bersama Jabatan Imigresen (JIM) dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kuala Lumpur.

Dalam operasi itu, JIM yang menjalankan pemeriksaan terhadap individu warga asing, berjaya menahan 19 individu, yang terdiri daripada 17 lelaki warga Bangladesh dan dua lelaki warga Pakistan atas kesalahan tidak memiliki dokumen yang sah serta menyalahgunakan permit kerja.

Sebuah premis diarah tutup serta-merta oleh DBKL dalam Operasi Tindakan Khas KL Strike Force di sekitar kawasan perniagaan di Jalan Thamby Abdullah, Brickfields.

Pihak KPDN pula telah mengeluarkan enam kompaun di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 serta Akta Timbang dan Sukat 1972 atas kesalahan berkaitan penandaan harga dan timbang sukat.

Di samping itu, empat kes turut diambil tindakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang melibatkan penyitaan barang kawalan seperti gula, tepung gandum, minyak masak dan beberapa barangan lain yang disimpan atau dijual tanpa lesen sah.

DBKL berkata. bersama agensi-agensi penguatkuasaan yang terlibat akan terus mempertingkatkan pemantauan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang gagal mematuhi syarat lesen dan undang-undang yang ditetapkan. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here