KUALA LUMPUR – Gangguan bekalan air yang berlaku di di kawasan Kompleks Uniciti Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) Sungai Chuchuh, bukan disebabkan oleh tekanan paip utama operator air iaitu Syarikat Air Perlis Sdn Bhd (SAP).
Sebaliknya, ia berpunca daripada masalah sistem perpaipan dalaman di premis universiti berkenaan.
Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) berkata, SAP telah menjalankan siasatan di tapak pada 11 April 2025 dan mengadakan pertemuan dengan pengurusan UNIMAP pada 14 April 2025 untuk mendapatkan keterangan lanjut setelah aduan diterima.
Hasil siasatan di lokasi mendapati tekanan bekalan air selepas meter utama (meter pukal) adalah mencukupi dan melebihi tekanan minimum yang
ditetapkan.
Kawasan di sekitar Kompleks Uniciti menerima bekalan air daripada Loji Rawatan Air Timah Tasoh.
Kompleks ini mempunyai dua sumber bekalan air yang disalurkan melalui paip utama SAP bersaiz 315 mm jenis HDPE, hanya sebahagian daripada enam blok yang terjejas akibat gangguan bekalan air.
Gangguan bekalan air pada blok-blok yang berkenaan disebabkan oleh masalah sistem perpaipan dalaman yang dilaksanakan oleh pemaju.
Keseluruhan sistem bekalan air dalaman kawasan yang mengalami gangguan (selepas meter pengguna-meter pukal) adalah di bawah tanggungjawab pemilik premis/pemaju untuk kerja operasi.
Bagaimanapun, SAP telah mengaturkan bantuan yang perlu antaranya dengan membuat pintasan sementara iaitu tidak melalui meter air utama SAP (meter pukal) bagi membolehkan blok-blok yang terjejas di UniMAP mendapat bekalan air, menghantar bekalan air melalui lori tangki SAP dan mengepam bekalan air ke dalam tangki di premis UNIMAP. – MalaysiaGazette