KUALA LUMPUR – Sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara Malaysia dan China semalam turut melibatkan Kementerian Pendidikan (KPM) menerusi kerjasama penterjemahan dan penerbitan karya-karya terbaik Malaysia-China.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, kerjasama penterjemahan dan penerbitan itu akan dilaksanakan melalui Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) dengan pihak negara China melalui National Press and Publication Administration of the People’s Republic of China.
Menurut beliau, ia akan melibatkan penerbitan dan penterjemahan karya-karya klasik terbaik kedua-dua negara di bawah projek Asian Classics Translation Programme.
Jelasnya, kerjasama berimpak tinggi dalam tempoh lima tahun itu merangkumi penterjemahan dan penerbitan antara 50 hingga 100 judul buku yang meliputi karya Sasterawan Negara, penerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (S.E.A Write Award), karya Malaysiana dan karya klasik tempatan serta karya terbaik dari China.
“Saya percaya inisiatif ini akan dapat menggalakkan pertukaran judul karya terbaik, meningkatkan pemahaman silang budaya selain mengukuhkan hubungan sedia ada antara kedua-dua buah negara melalui diplomasi kesusasteraan,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Semalam, Malaysia dan China memeterai sebanyak 31 MoU yang merangkumi pelbagai bidang kerjasama strategik, termasuk kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital, pelancongan dan pendidikan.
Majlis pertukaran dokumen perjanjian itu disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden China, Xi Jinping sempena lawatan kenegaraan tiga hari Presiden China ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim.
KPM yang diwakili Fadhlina turut menandatangani MoU dengan Presiden dan Ketua Pengarang Kumpulan Media China (CMG), Shen Hai Xiong, khusus dalam bidang terjemahan dan penerbitan karya klasik. – MalaysiaGazette