Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) di The Hague, Belanda. - Foto AFP

HAGUE – Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) menuntut penjelasan daripada Hungary mengapa negara itu gagal menahan Benjamin Netanyahu semasa lawatan terbaharunya, walaupun terdapat waran tangkap aktif daripada ICC terhadap Perdana Menteri Israel  atas tuduhan jenayah kemanusiaan di Gaza.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu, ICC meminta Budapest mengemukakan penjelasan rasmi selewat-lewatnya pada 23 Mei ini.

Menurut tribunal yang berpangkalan di The Hague, Belanda itu, Netanyahu berada di Hungary dari 3 hingga 6 April lalu, beberapa bulan selepas ICC mengeluarkan waran tangkap terhadap beliau pada November 2024.

Hungary, sebagai antara negara yang menandatangani Statut Rom, mempunyai kewajipan untuk mematuhi waran tersebut.

Bagaimanapun, seperti dilaporkan portal Middle East Eye, pegawai-pegawai Hungary masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap tuntutan mahkamah tersebut, yang telah didedahkan kepada umum pagi Rabu.

Kes itu menjadi salah satu cabaran paling berprofil tinggi terhadap kewibawaan ICC, apabila mahkamah tersebut terus mendesak negara-negara anggota untuk menguatkuasakan perintah penahanan terhadap pemimpin dunia yang dituduh melakukan jenayah antarabangsa yang serius.

Sebelum ini, media antarabangsa turut melaporkan, Hungary mengumumkan menarik diri daripada ICC beberapa jam selepas ketibaan Netanyahu ke negara itu bagi mengadakan lawatan rasmi.

Perdana Menteri Hungary, Viktor Orban berkata, Netanyahu dijemput ke negara itu selepas waran oleh ICC dikeluarkan dengan menyatakan bahawa keputusan mahkamah tersebut `tidak memberi kesan’ di negaranya.

Pada November lalu, para hakim ICC menegaskan terdapat `alasan munasabah’ untuk mempercayai bahawa Netanyahu memikul “tanggungjawab jenayah” atas dakwaan jenayah perang dan jenayah terhadap kemanusiaan sepanjang konflik antara Israel dan Hamas di Gaza.

Bagaimanapun, Netanyahu mengecam keputusan ICC itu sebagai `antisemitik’.

Sejak perang di Gaza tercetus pada Oktober 2023, lebih 50,000 rakyat Palestin dibunuh regim Israel yang kini semakin memperluaskan operasi mereka untuk menguasai wilayah tersebut secara haram. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here