Oleh: Noor Aslinda Abu Seman
PERUBAHAN iklim bukan lagi suatu ramalan saintifik yang jauh dari realiti. Ia kini dirasai dengan nyata dalam kehidupan seharian rakyat Malaysia. Cuaca yang sukar dijangka, musim tengkujuh yang melampau, dan suhu harian yang semakin panas bukan sahaja mengganggu rutin, malah mengancam keselamatan dan ekonomi negara.
Pada tahun 2024 sahaja, Malaysia merekodkan kerugian sebanyak RM933.4 juta akibat banjir, meningkat daripada RM755.4 juta pada tahun 2023. Kerugian ini bersamaan dengan 0.05% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal.
Ini bukan sekadar angka, tetapi lambang kepada kehilangan harta benda, tempat tinggal, dan kestabilan hidup ramai warga. Kajian antarabangsa turut menunjukkan bahawa negara-negara Asia Tenggara, termasuk Malaysia, berisiko kehilangan sehingga 46 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang akhir abad ini sekiranya suhu bumi meningkat tiga darjah Celsius.
Apa yang lebih membimbangkan, perubahan iklim sedang merubah ekosistem ekonomi dan sosial kita secara senyap. Sektor pertanian misalnya, kini berdepan tekanan besar apabila pola hujan yang tidak menentu menjejaskan hasil tanaman. Dr. Saiful Irwan Zubairi dari Universiti Kebangsaan Malaysia menyifatkan situasi ini sebagai satu bentuk “ancaman terhadap jaminan makanan negara” yang sudah mula menunjukkan kemerosotan.
Pengguna mula menyesuaikan gaya hidup
Apabila harga makanan dan barangan keperluan meningkat, rakyat terpaksa menyesuaikan corak pembelian dan cara hidup. Dalam keadaan ekonomi yang mencabar, penggunaan elektrik dan air perlu lebih cermat, terutama ketika musim panas panjang dan kemarau yang menjejaskan bekalan.
Malah, rakyat juga semakin cenderung memilih produk yang tahan lama, jimat tenaga dan mesra alam. Perubahan gaya hidup ini berlaku bukan sekadar atas dasar kesedaran alam sekitar, tetapi sebagai satu bentuk penyesuaian kepada realiti baharu yang tidak dapat dielakkan.
Dari sudut gelagat pengguna, terdapat peningkatan dalam kecenderungan terhadap jenama dan perkhidmatan yang menonjolkan nilai kelestarian. Kajian mendapati pengguna kini lebih bersedia membayar sedikit lebih untuk produk mesra alam, asalkan ia diyakini berkualiti dan tahan lama. Di Malaysia, trend ini mula terbentuk melalui amalan seperti pembelian pukal tanpa pembungkusan, kitar semula, dan penggunaan semula barangan rumah. Ini menunjukkan perubahan iklim bukan sahaja mempengaruhi keperluan pengguna, malah juga nilai dan cara berfikir mereka.
Di sebalik kesukaran ini, ada sinar harapan. Kesedaran dalam kalangan generasi muda terhadap isu perubahan iklim dilihat semakin tinggi. Menurut Nik Nazmi Nik Ahmad, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, anak muda ASEAN berpotensi menyumbang idea dan tenaga dalam menangani isu ini, namun memerlukan dorongan padu dari kerajaan, sektor swasta dan NGO untuk menjayakan usaha tersebut.
Institusi pendidikan dan latihan pula boleh memainkan peranan penting dengan memperkenalkan kurikulum yang memberi penekanan terhadap kemahiran operasi hijau dan pengurusan sumber lestari. Pendidikan awal mengenai kelestarian alam mampu membentuk generasi pekerja dan pemimpin yang lebih prihatin terhadap impak perubahan iklim.
Tanggungjawab bersama demi masa depan
Perubahan iklim adalah isu sivik, bukan sekadar tanggungjawab kerajaan atau aktivis alam sekitar. Ia melibatkan seluruh masyarakat. Organisasi dan syarikat pula harus memikirkan semula strategi operasi dan penggunaan sumber.
Dalam konteks pengurusan operasi, syarikat perlu menilai semula proses kerja yang menyumbang kepada pelepasan karbon tinggi, dan beralih kepada teknologi pintar yang lebih cekap tenaga. Contohnya, pelaksanaan sistem pengurusan tenaga digital, automasi hijau dalam pengeluaran, serta model logistik yang meminimumkan jejak karbon boleh meningkatkan kecekapan sambil menyokong kelestarian. Organisasi juga boleh mengintegrasikan prinsip ‘lean and green’ bagi mengurangkan pembaziran dalam setiap rantaian nilai.
Beberapa syarikat tempatan seperti Nestlé Malaysia, Petronas, Sunway Construction, dan Malakoff telah mula melaksanakan strategi operasi mampan, termasuk penggunaan tenaga boleh baharu dan pengurusan sisa pintar dalam rantaian bekalan mereka. Langkah ini menunjukkan bahawa transformasi hijau bukan sahaja tanggungjawab moral, malah peluang strategik.
Mirek Dušek dari Forum Ekonomi Dunia mengingatkan bahawa dunia kini berdepan tekanan tiga serangkai — krisis iklim, ketegangan geopolitik dan keretakan kepercayaan global. Justeru, pendekatan kita terhadap isu ini perlu menyeluruh dan strategik.
Rakyat pula boleh memainkan peranan melalui perubahan tabiat harian: menjimatkan air, mengurangkan pembaziran, memilih produk tempatan dan bertanggungjawab terhadap sisa. Langkah kecil ini, jika dilakukan secara kolektif, mampu mencetuskan impak besar terhadap kelestarian bumi.
Perubahan iklim bukan sekadar cabaran cuaca. Ia mencerminkan soal tanggungjawab generasi kini terhadap generasi akan datang. Sebagaimana semangat gotong-royong yang telah lama menjadi akar budaya kita, usaha menangani perubahan iklim juga menuntut kesatuan tindakan dan rasa tanggungjawab bersama. Jika kita memilih untuk bertindak hari ini, masa depan yang lebih sejahtera dan lestari masih boleh dicapai.
Penulis adalah Pensyarah Kanan Johor Business School
Universiti Tun Hussein Onn Malaysia
Batu Pahat, Johor.