KUALA LUMPUR – Satu sesi taklimat khas oleh Kementerian Komunikasi akan diadakan kepada pengamal media serta unit komunikasi korporat agensi kerajaaan berhubung tatacara penggunaan Jalur Gemilang dan lambang rasmi negara.
Menterinya, Datuk Fahmi Fadzil berkata, tindakan itu susulan insiden sebuah akhbar tempatan baru-baru ini didakwa memaparkan Jalur Gemilang dalam bentuk tidak tepat, sekali gus mencetuskan kritikan dalam kalangan masyarakat dan pengguna media sosial.
“Walaupun siasatan isu ini masih dijalankan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), kita perlu mengambil pendekatan proaktif untuk menganjurkan sesi taklimat khas kepada pemain industri.
“Mungkin dalam tempoh dua minggu, kita akan anjurkan sesi ini untuk rakan-rakan media dan juga unit komunikasi korporat di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) serta agensi-agensi kerajaan.
“Kita mahu memastikan bahawa insiden seperti ini tidak berulang,” katanya dalam sidang media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.
Isu Jalur Gemilang mencetuskan kontroversi selepas akhbar berbahasa Cina, Sin Chew Daily mengeluarkan cetakan surat khabar yang memaparkan Jalur Gemilang tanpa lambang bulan sabit.
Kesilapan akhbar itu mencetuskan kemarahan rakyat Malaysia kerana Jalur Gemilang adalah simbol kedaulatan.
Sin Chew Daily dalam kenyataannya, meminta maaf dan kesal atas kesilapan teknikal yang tidak disengajakan.
Mengulas lanjut, Fahmi berkata, siasatan kes berkenaan terletak di bawah bidang kuasa KDN kerana ia melibatkan bahan bercetak, manakala MCMC akan meneliti aspek kandungan versi digital seperti akhbar dalam talian (e-paper).
“Untuk kes ini, ia di bawah KDN kerana melibatkan bahan bercetak iaitu surat khabar. Jadi, ia tidak melibatkan MCMC secara langsung, walaupun akhbar itu ada menerbitkan versi digital, aspek itu turut diteliti oleh pihak MCMC,” jelasnya.
Tambah beliau, penganjuran taklimat itu merupakan sebahagian daripada usaha kementerian bagi memperkukuh pemahaman pengamal media terhadap penggunaan simbol rasmi negara, agar sejajar dengan peraturan dan garis panduan sedia ada.
“Langkah ini penting supaya semua pihak memahami batas dan tanggungjawab dalam menyiarkan lambang rasmi negara, sama ada dalam bentuk cetakan atau digital.
“Semua ini agar selaras dengan garis panduan dan peraturan sedia ada dalam semua bentuk penyiaran, sama ada bercetak mahupun digital,” katanya. – MalaysiaGazette
Dah 67 tahun Merdeka, pihak media arus perdana belum faham tatacara meletak dan mengibar Jalur Gemilang? Malang yang amat..