IPOH – Kerajaan Perak telah mengarahkan pihak berkaitan untuk menjalankan siasatan segera berhubung insiden kekecohan melibatkan anggota penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) dan orang awam di Taman Rasi Jaya, Menglembu di sini yang berlaku semalam.
Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Sandrea Ng Shy Ching berkata, selain itu maklumat lengkap juga sedang dikumpul bagi membolehkan tindakan diambil dengan sewajarnya ke atas pihak terlibat.
“Kerajaan negeri akan mengambil langkah segera bagi menjernihkan keadaan. Saya menghargai kesabaran semua pihak sementara siasatan berlangsung.
“Saya ingin menegaskan bahawa ini bukanlah isu perkauman.
“Justeru, orang ramai diseru supaya tidak menimbulkan sentimen yang boleh menjejaskan keharmonian dan perpaduan masyarakat,“ katanya dalam satu kenyataan melalui laman Facebooknya hari ini.
Semalam, tular beberapa video di media sosial memaparkan pertengkaran mulut antara pekerja restoran dan penguat kuasa Majlis Bandaraya Ipoh (MBI).
Bagaimanapun, suasana menjadi tegang apabila berlaku provokasi daripada individu yang enggan memberi kerjasama.
Salah seorang pekerja restoran terbabit didakwa turut mengeluarkan kata-kata kesat serta cuba menghalang anggota penguat kuasa daripada menjalankan tugas rasmi malah salah seorang anggota penguat kuasa telah ditumbuk oleh individu terbabit.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad dilaporkan berkata, susulan kejadian tersebut, polis telah menerima satu laporan daripada anggota penguat kuasa MBI berusia 40 tahun sekitar jam 6.43 petang. – MalaysiaGazette