Dr. Osman Bakar (tengah) memegang MoU yang ditandatangani antara UIAM dan ICA.

KUALA LUMPUR – Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Persatuan Konfusius Antarabangsa (ICA) meterai satu Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam Dialog antara Tamadun Islam dan Tamadun Konfusius, yang menzahirkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan antara rakyat Malaysia dan China serta menggalakkan interaksi yang bermakna antara pelbagai tamadun.

Bersempena Lawatan Negara, Presiden China, Tuan Yang Terutama Xi Jinping ke Malaysia, Kerajaan Malaysia telah memilih UIAM sebagai institusi yang akan menerajui dialog Islam dan Konfusianisme melalui Kerjasama yang dijalinkan ini.

Perjanjian yang dimeterai ini merupakan langkah penting dalam melaksanakan Inisiatif Peradaban Global serta mencapai kesepakatan yang telah diterajui oleh para pemimpin kedua-dua negara, dengan matlamat untuk memupuk persefahaman, rasa hormat, dan nilai-nilai sejagat yang dikongsi antara tradisi Islam dan Konfusianisme.

MoU ini selari dengan aspirasi Inisiatif Peradaban Global yang diterajui oleh Presiden China, Xi Jinping, dan diperakui oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

MoU ini turut menzahirkan matlamat bersama untuk memupuk persefahaman, rasa hormat, serta nilai-nilai sejagat.

Rektor UIAM, Profesor Datuk Dr. Osman Bakar, yang menandatangani MoU bagi pihak UIAM menyifatkannya sebagai pencetus permulaan yang penting kepada pembudayaan wacana ilmu dan pemerkasaan hubungan antara tamadun.

“Kerajaan Malaysia telah memilih UIAM sebagai institusi peneraju MoU ini, dan kami melihat ini sebagai satu amanah besar. Sebuah pusat khas, iaitu Pusat Antarabangsa untuk Dialog Islam dan Konfusianisme akan ditubuhkan dan beroperasi di Akademi Dialog Dunia UIAM (WoDA) di Kampus ISTAC, Jalan Damansara.

“Kita akan menggerakkan usaha segera untuk melaksanakan program pertukaran ilmuwan, penyelidikan bersama, dialog budaya, penglibatan belia, serta penterjemahan dan penyebaran teks klasik. Usaha ini penting dalam memperdalam penghargaan antara tamadun dan menyumbang kepada keamanan serta pembangunan serantau dan global,” ujarnya ketika ditemui di sini.

WoDA bakal menempatkan beberapa pusat dan institut penting seperti Institut Antarabangsa Kajian Masa Depan (IIFS),Institut Pengantarabangsaan dan Kajian ASEAN, Pusat Kajian Dialog, Keamanan dan Xenofobia, serta Pusat Dialog Islam dan Konfusianisme.

MoU ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala Malaysia-China, malah meletakkan UIAM sebagai peneraju utama dalam bidang dialog antara tamadun, selari dengan misi universiti untuk menjadi jambatan antara dunia Islam dan komuniti antarabangsa.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here