KUALA LUMPUR – Polis menahan Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily hari ini berhubung isu penyiaran ilustrasi Jalur Gemilang yang tidak lengkap di muka hadapan akhbar itu.
Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Razarudin Husain yang mengesahkan penahanan itu berkata, dua individu terbabit ditahan bagi membantu siasatan.
“Kita telah menahan mereka bagi siasatan lanjut dan bawa dua individu terbabit ke pejabat bagi mendapatkan komputer serta barang berkaitan kes bagi siasatan selanjutnya.
“Kedua-dua individu terbabit akan dibebaskan dengan jaminan polis malam ini,” katanya ringkas ketika dihubungi.
Terdahulu, Ketua Editor dan Timbalan Ketua Penyunting Sin Chew Daily diambil keterangan selama tiga jam di Pejabat Unit Siasatan Jenayah Terkelas Ibu Pejabat Polis Diraja Malaysia Bukit Aman (PDRM) hari ini.
Difahamkan, Ketua Editor itu berperanan meluluskan penyiaran ilustrasi tersebut manakala Timbalan Ketua Penyunting terbabit pula adalah pereka grafik gambar berkenaan.
Razarudin berkata, sehingga kini 40 laporan telah diterima di seluruh negara dan kes disiasat mengikut Seksyen 3(1)(c) Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963 serta Seksyen 4(1)(b) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984.
Pada Selasa lalu, akhbar berbahasa Cina itu menyiarkan ilustrasi Jalur Gemilang di muka hadapannya sempena liputan lawatan negara Presiden China Xi Jinping ke Malaysia namun gambar bendera tersebut tidak lengkap.
Insiden itu mendapat kiritikan pelbagai pihak termasuk Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang bertitah pihak pengurusan dan jabatan pengarang akhbar berkenaan seharusnya lebih peka serta menyemak sesuatu bahan terlebih dahulu sebelum dicetak untuk siaran.
Berikutan itu, akhbar terbabit tampil memohon maaf dan menjelaskan bahawa ia adalah kesilapan teknikal yang tidak disengajakan. – MalaysiaGazette
Ianya disengajakan untuk mencabar YDPA.
Ramai yang cadang untuk ditarik kewarganegaraan kedua2nya.