KUALA LUMPUR – Lawatan Negara Presiden China, Xi Jinping ke Malaysia yang berakhir hari ini disifatkan telah berjaya mengeratkan hubungan perdagangan melibatkan kedua – dua negara yang terjalin selama 50 tahun.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, lawatan itu juga mengeratkan hubungan Jinping dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam situasi ketidaktentuan ekonomi dunia.
Fahmi yang juga jurucakap kerajaan berkata, lawatan itu juga telah merekodkan pencapaian yang bersejarah apabila sebanyak 31 memorandum persefahaman kerjasama (MoU) berjaya dimeterai antara kedua-dua negara.
Katanya, ia melibatkan pelbagai bidang strategik seperti perdagangan, pelaburan, infrastruktur, pendidikan, teknologi hijau, ekonomi digital dan pelancongan.
“Sudah pasti Malaysia sebagai sebuah negara dagang berharap akan dapat meneruskan hubungan dagang dengan pelbagai negara yang ingin bersama kita.
“Ini adalah satu pencapaian yang sangat besar dan mungkin yang tertinggi pernah dicapai sekali gus membuktikan keyakinan Republik Rakyat China terhadap dasar dan kepimpinan negara di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam sidang media Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Tambah Fahmi, lawatan selama tiga hari itu bukan sahaja memperkukuh kerjasama ekonomi dan diplomatik antara Malaysia dan China, tetapi turut mempererat hubungan peribadi antara kedua-dua pemimpin tertinggi negara.
“Dalam keadaan ekonomi dunia yang tidak stabil, Malaysia sebagai sebuah negara dagang berharap dapat meneruskan hubungan dengan pelbagai negara yang ingin berdagang dengan kita. Sudah pasti lawatan Presiden Xi mencapai maksud itu,” ujarnya.
Tambah beliau, bagi usaha memperkukuh kedudukan Malaysia dalam persekitaran geoekonomi global, dua menteri kanan bakal mengadakan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat hujung bulan ini.
Mereka ialah iaitu Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Malaysia, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz dan Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Jelas beliau, lawatan itu bagi membuka rundingan bersama pentadbiran White House berhubung isu tarif Amerika Syarikat terhadap beberapa negara ASEAN, termasuk Malaysia.
“Ini hasil daripada Mesyuarat Nasional Geoekonomi Command Centre yang telah diadakan pada 14 April lalu. Perbincangan ini juga susulan kesepakatan negara-negara ASEAN untuk mendepani isu tarif secara bersama dan bersepadu,” jelasnya. – MalaysiaGazette