Dr. Afif Bahardin

KUALA LUMPUR – Perikatan Nasional (PN) Selangor mempersoalkan tindakan Kerajaan Negeri Selangor yang menganjurkan satu pertemuan rasmi Taklimat Khas Insiden Letupan Paip Gas Putra Heights semalam, tanpa melibatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) daripada blok pembangkang.

Setiausaha PN Selangor, Dr. Afif Bahardin berkata, insiden yang mengorbankan keselamatan awam, merosakkan puluhan kediaman dan menjejaskan ratusan keluarga itu seharusnya ditangani dengan prinsip kebertanggungjawaban, ketelusan dan penglibatan semua pihak, bukan melalui mesyuarat tertutup yang hanya melibatkan pihak tertentu.

Katanya, tindakan mengenepikan wakil-wakil rakyat PN mencerminkan satu sikap tidak demokratik yang membelakangi semangat Dewan Negeri Selangor sebagai medan rundingan terbuka.

“Apakah kerajaan negeri cuba menyusun naratif sendiri tanpa diganggu dengan persoalan yang mungkin tidak mahu mereka jawab?

“Atau lebih membimbangkan adakah terdapat kegagalan agensi atau kecuaian pihak tertentu yang ingin disembunyikan daripada penelitian umum?” katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Menurut Dr. Afif, Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini turut menuntut satu siasatan bebas dan telus dijalankan terhadap insiden itu selain menggesa sidang khas Dewan Negeri Selangor diadakan bagi membolehkan kejadian tersebut dibahaskan secara menyeluruh dan terbuka.

Namun, hingga kini, ujarnya, kerajaan negeri terus mengelak daripada menyahut seruan tersebut seolah-olah takut kepada pendedahan dan enggan menerima semak dan imbang yang sah.

“Sebagai wakil rakyat yang dipilih secara sah oleh rakyat, kami menegaskan bahawa sebarang usaha membaik pulih kawasan bencana dan memastikan kejadian sebegini tidak berulang mestilah melibatkan semua pihak.

“Tindakan memencilkan blok pembangkang hanya melemahkan kepercayaan rakyat terhadap integriti pentadbiran negeri, dan menimbulkan persepsi bahawa kerajaan negeri lebih mementingkan kawalan politik daripada kebajikan rakyat,” katanya.

Sehubungan itu, Dr. Afif yang juga ADUN Taman Medan mengulangi tuntutan Mohamed Azmin supaya sidang khas Dewan Negeri bagi membahaskan insiden letupan Putra Heights diadakan segera.

Tegasnya, sebarang laporan dan hasil siasatan berkaitan insiden itu mesti dibentangkan secara terbuka.

“Rakyat berhak tahu siapa yang bertanggungjawab, apa langkah yang telah diambil, dan bagaimana keselamatan mereka akan dijamin pada masa akan datang,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here