KUALA LUMPUR – Majlis Amanah Rakyat (Mara) akan memulakan pengambilan warden sepenuh masa dari kalangan bekas pegawai tentera dan polis sebagai projek rintis bagi membentuk disiplin pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM), sekali gus memastikan sifar buli.
Pengerusi Mara, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki berkata, cadangan itu telah dibangkitkan beliau dalam Majlis MARA dan dipersetujui sebulat suara.
Buat permulaan, menurut beliau, projek rintis (pilot) akan dimulakan dengan melibatkan beberapa MRSM bagi melihat dan mengkaji keberkesanan inisiatif tersebut.

“Kerjasama juga akan dilakukan dengan Persatuan Veteran Tentera dan Bekas Polis bagi mengenal pasti kriteria pemilihan.
“Bahagian Pendidikan Menengah Mara juga akan menyediakan garis panduan yang jelas berkenaan terma-terma rujukan (TOR) tanggungjawab dan bidang tugas Warden di MRSM,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.
Tambah Asyraf Wajdi, inisiatif itu penting untuk memastikan pembangunan sahsiah, disiplin dan akhlak pelajar-pelajar MRSM sentiasa dapat diperkasakan seiring dengan falsafah pendidikan yang mahu melahirkan generasi yang cemerlang secara holistik dan seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.
“Ini juga bagi memastikan matlamat Mara untuk SIFAR BULI di MRSM benar-benar mampu direalisasikan,” katanya.
Cadangan menempatkan warden sepenuh masa yang dilantik dalam kalangan pesara tentera atau polis di semua MRSM pernah dibangkitkan Asyraf Wajid sebelum ini bagi membendung sepenuhnya budaya buli di institut berkenaan.
Keputusan itu berdasarkan syor dibuat Jawatankuasa Disiplin MRSM susulan kes buli terkini membabitkan pelajar MRSM yang berlaku di Pulau Pinang yang mana videonya turut tular di media sosial.
Rakaman video berdurasi 1 minit 31 saat itu memaparkan sekumpulan pelajar lelaki menghempap kepala dan badan seorang pelajar lain dalam keadaan tertiarap di atas katil.
Remaja lelaki berkenaan turut dilihat disebat dengan tali pinggang pada punggung.
Kesemua pelajar yang terlibat dalam insiden buli itu bagaimanapun sudah dikenakan tindakan. – MalaysiaGazette