Menara Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 11 OGOS 2022.

KUALA LUMPUR – Bekas pengendali Menara Kuala Lumpur, Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd (MKLSB) dan rakan strategiknya, Hydroshoppe Sdn Bhd tampil mempertahankan rekod pengurusan susulan pengambilalihan operasi menara itu oleh syarikat baharu, LSH Service Master Sdn Bhd, bermula 1 April lalu.

Pengarah Urusan MKLSB, Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak berkata, dakwaan bahawa syarikatnya beroperasi tanpa kelulusan sah dan gagal menyelenggara struktur menara itu adalah tidak berasas.

“Kami nafi sekeras-kerasnya dakwaan operasi kami tidak sah atau menyebabkan kegagalan sehingga membawa kepada pengusiran dan sitaan premis Menara Kuala Lumpur pada lewat malam semalam. Itu bukan fakta,” katanya kepada media, hari ini.

Pengarah Urusan Menara Kuala Lumpur Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh (tengah) ketika sidang media di Pintu Masuk Menara, Kuala Lumpur. Foto HARI ANGGARA, 31 MAC 2025.

Hari ini, Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, Pesuruhjaya Tanah Persekutuan bertindak memasuki premis Menara Kuala Lumpur pada awal pagi semalam selepas syarikat pengendali lama enggan mengosongkan premis walaupun konsesi mereka telah tamat.

Fahmi mendakwa, hasil pemeriksaan oleh pegawai Kementerian Komunikasi mendapati, keadaan Menara KL tidak lagi sesuai dan selamat untuk pengunjung sehingga pihak lain terpaksa ambil alih lokasi itu bagi penambaikan.

Dalam pada itu, Abdul Hamid mendakwa penutupan itu bukan atas sebab penyelenggaraan, sebaliknya merupakan tindakan pengusiran secara paksa oleh beberapa agensi kerajaan termasuk Pesuruhjaya Tanah Persekutuan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

“Notis penutupan yang dikeluarkan adalah bersifat mengelirukan. Hakikatnya, ini adalah satu bentuk pengambilalihan operasi secara paksa terhadap kami,” jelasnya.

Beliau turut merujuk kepada laporan prestasi tender oleh Kementerian Komunikasi yang menunjukkan MKLSB dan Hydroshoppe telah memenuhi semua obligasi kontrak dengan pencapaian 100 peratus, sekali gus menyangkal alasan bahawa pengambilalihan dilakukan kerana kegagalan pengurusan.

MalaysiaGazette difahamkan ketika ini MKLSB dan Hydroshoppe telah memulakan prosiding komital terhadap pihak-pihak terlibat dalam penyitaan dan pengusiran tersebut.

Semalam Kementerian Komunikasi mengumumkan Menara Kuala Lumpur akan ditutup sementara bermula hari ini untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melaksanakan kerja-kerja penyelenggaraan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here