GEORGE TOWN – Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) akan melaksanakan 23 projek kerja air di Seberang Perai dan bahagian pulau secara serentak bermula 25 April ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. K. Pathmanathan berkata, daripada jumlah itu, 13 projek melibatkan antaranya kerja pengalihan paip berukuran 0.9 meter di Batu Uban serta kerja-kerja naik taraf di Kompleks Bukit Dumbar.
Manakala Seberang Perai pula menyaksikan 10 projek, termasuk penyambungan akhir Paip Menyeberangi Sungai Perai serta pembaikan dan naik taraf di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.
“Antara projek utama adalah pembaikan saluran paip 700mm bocor dan enam kerja naik taraf rumah pam di Loji Rawatan Air Sungai Dua di Seberang Perai Utara (SPU), serta penggantian injap 1.2 meter yang rosak di saluran paip di Jalan Pengkalan Tambang, berhampiran LRA Sungai Dua.
“Turut dilaksanakan ialah kerja penyambungan akhir Saluran Paip Menyeberangi Sungai Perai 1.35 meter di Seberang Perai Tengah (SPT), pelencongan saluran paip 0.9 meter di Kompleks Majlis Sukan Negeri, Batu Uban, Daerah Barat Daya (DBD) serta tiga projek menaik taraf operasi pengepaman semula air terawat di Kompleks Kolam Air dan Stesen Pam Bukit Dumbar di DTL,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Tambah beliau, pada Isnin dan Selasa lalu kakitangan kanan kejuruteraan PBAPP telah melawat dan meninjau kerja-kerja penyediaan tapak di LRA Sungai Dua dan di Jalan Pengkalan Tambang, Sungai Perai, Batu Uban dan Bukit Dumbar.
“Pada pendapat kami, semua persiapan adalah memuaskan dan bersedia untuk pelaksanaan yang selamat, pantas dan berjaya secara serentak.
“Persiapan juga dibuat untuk memulakan 10 lagi projek kerja air sampingan di Bukit Minyak (SPS) dan Kompleks Kolam Air serta Stesen Pam Bukit Gedung, Jalan Dato Ismail Hashim, Tun Dr. Awang dan Stesen Pam Teluk Kumbar di DBD,” katanya.
Gangguan Bekalan Air Berjadual (SWSI) ini dijadualkan bermula dari jam 10 malam pada 25 April ini dan akan menjejaskan 341,708 pengguna air di kawasan SPU, SPT, SPS, DTL dan DBD dengan tempoh gangguan antara 24 hingga 60 jam bergantung kepada kawasan.
Pengguna yang terjejas dinasihatkan menyimpan air yang mencukupi untuk kegunaan bergantung pada jangkaan tempoh SWSI di kawasan mereka. – MalaysiaGazette