Wan Ahmad Dahlan (tengah) merasmikan program Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi Zon Utara serta pelancaran Buku Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.

BUTTERWORTH – Penjawat awam diingatkan agar berusaha mencari pendekatan baharu dalam menyampaikan perkhidmatan kepada rakyat selaras dengan agenda reformasi perkhidmatan awam yang digariskan kerajaan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata, kerajaan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menekankan kepantasan dalam perkhidmatannya, tidak mahu mendengar sebarang keluhan daripada rakyat berhubung kelewatan dalam perkhidmatan awam.

Katanya, para penjawat awam perlu mendukung hasrat itu dengan sepenuh hati seiring kenaikan gaji yang diberikan selepas 12 tahun.

“Perlu ada satu anjakan oleh penjawat-penjawat awam dalam perkhidmatan kepada rakyat terutamanya mereka yang memerlukan khidmat dari segi dokumen dan sijil-sijil (kelahiran), pasport, lesen memandu dan sebagainya.

Wan Ahmad Dahlan.

“Saya tidak mahu lagi ada rungutan daripada rakyat tentang perkhidmatan yang tidak cepat kerana kerajaan menekankan kepada kepantasan,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Bicara Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi Zon Utara serta pelancaran Buku Aspirasi H.E.M.A.T: Aspirasi Menuju Reformasi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Pulau Pinang, Datuk Zulkifli Long, bersama kira-kira 1,500 penjawat awam dari negeri Pulau Pinang, Kedah, Perlis dan Perak.

Tambah beliau, penjawat awam digalakkan untuk membaca buku hasil tulisannya yang berkongsi pengalaman mentadbir pelbagai jabatan kerajaan bagi dijadikan panduan dalam meningkatkan mutu perkhidmatan.

Dalam perkembangan lain, Wan Ahmad Dahlan  memaklumkan beberapa pegawai perkhidmatan awam dihantar ke India dan China untuk mengikuti kursus selama enam bulan melibatkan kecerdasan buatan (AI) dan pendigitalan sebagai langkah meningkatkan keberkesanan perkhidmatan mengikut arus teknologi semasa. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here