Wan Saiful Wan Jan.

KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan penutupan Menara Kuala Lumpur buat sementara waktu bermula hari ini sebagai satu bentuk kekerasan.

Menurut Ketua Portfolio Komunikasi Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) itu, ia juga satu usaha menghalau secara paksa syarikat Menara Kuala Lumpur Sdn Bhd yang diketuai oleh Datuk Abdul Hamid Shaikh Abdul Razak Shaikh.

Ujarnya, umum mengatahui kerajaan ketika ini sedang berusaha membawa masuk operator baharu iaitu syarikat Lim Seong Hai Capital Sdn Bhd yang diketuai oleh Tan Sri Lim Keng Cheng.

Perkembangan itu, katanya, membimbangkan kerana ini bukan kali pertama kerajaan menggunakan kuasa secara paksa untuk mengusir kelompok tertentu bagi memberi ruang kepada kelompok lain.

“Kementerian Komunikasi telah mengeluarkan notis bahawa Menara Kuala Lumpur ditutup kepada pengunjung.

“Kononnya penutupan ini adalah untuk penyelenggaraan.

“Saya tidak percaya alasan penyelenggaraan yang diberikan. Bagi saya alasan yang diberikan adalah satu lagi penipuan oleh kerajaan ini,” katanya menerusi catatan di laman sosial Facebook beliau hari ini.

Menurut Wan Saiful yang juga Ahli Parlimen Tasek Gelugor, negara sebelum ini dihebohkan dengan pengusiran penduduk Kampung Sungai Baru untuk membolehkan satu lagi kontraktor pembinaan KL City Gateway (KLCG) Sdn Bhd (nama sebelum ini Ritzy Gloss Sdn Bhd) mengambil alih kawasan itu.

Dakwanya, KLCG adalah anak syarikat Suez Capital yang diketuai oleh Datuk Ter Leong Hing.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan sama ada Malaysia sedang menyaksikan satu `trend’ baharu kerakusan kerajaan mempergunakan kuasa dan agensi untuk manfaat kelompok mahakaya terpilih.

“Penutupan Menara Kuala Lumpur adalah tidak wajar kerana ia merupakan mercu tanda penting bagi negara.

“Seharusnya kerajaan membenarkan perkara ini diselesaikan terlebih dahulu oleh mahkamah,” katanya.

Semalam, Kementerian Komunikasi dalam kenyataan memaklumkan, bangunan Menara Kuala Lumpur akan ditutup buat sementara waktu bermula hari ini untuk memberi ruang kepada pengurusan baharu melakukan kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan demi keselamatan dan keselesaan pengunjung.

Katanya, tarikh pembukaan semula menara komunikasi antara yang tertinggi di dunia itu akan dimaklumkan melalui pelbagai saluran media.

Tambahnya, Menara Kuala Lumpur merupakan aset milik kerajaan dan bermula 1 April lalu, operasi serta penyelenggaraan menara ikonik itu telah diambil alih sepenuhnya oleh syarikat LSH Service Master Sdn. Bhd. (LSHSM).

Sehubungan itu, kehadiran syarikat terdahulu, Menara Kuala Lumpur Sdn. Bhd. (MKLSB) di premis tersebut selepas 31 Mac dianggap tidak sah. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast

Tinggal Komen

Please enter your comment!
Please enter your name here