KUANTAN – Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan sekurang-kurang RM2 juta bagi melaksanakan program Pahang Lead 2025 dengan modul yang lebih segar dan berkesan.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, program kepimpinanan itu sudah digerakkan sejak tahun lalu dalam usaha melahirkan kepimpinan muda dalam pelbagai bidang.
Tambahnya, Pahang Lead 2025 mampu membantu pemimpin muda memiliki jati diri tinggi serta memahami aspirasi dan inisiatif yang kerajaan negeri laksanakan.
“Pada tahun ini seramai 251,279 pelajar sekolah akan didedahkan dengan modul Tier 1 Pahang Lead yang akan terus mempasakkan jatidiri dan semangat cintakan negeri Pahang, melalui proses saringan hingga ke Tier 4 bagi mencari 66 orang pemimpin muda yang berbakat dan kepimpinan pelajar yang berkualiti.
“Keutuhan jati diri dalam jiwa anak-anak kita perlu diperkukuhkan. Kita perlu menyedarkan mereka tentang perlunya disiplin diri yang tinggi dan berpegang teguh kepada nilai-nilai murni sepanjang masa. Sudah pasti ia bukan sesuatu yang mudah dan akan berlaku secara sendiri.
”Kerana itu kita menyokong program Pahang Lead dan program-program kepimpinan yang seumpamanya ini kerana ia mampu mengukuh dan menyerlahkan lagi potensi pemimpin muda,” katanya.
Beliau menyatakan demikian pada majlis Perasmian Pahang Lead 2025 di Kompleks Sukan Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) Kampus Gambang, di sini, hari ini.
Menurut Wan Rosdy, beliau percaya ramai anak-anak muda berpotensi untuk menjadi pemimpin yang hebat.
Tambah beliau, Pahang dikenali sebagai gedung melahirkan pemimpin seperti Allahyarham Tun Abdul Razak, Allahyarham Tun Ghazali Shafie, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob. – MalaysiaGazette